
Menurut Arney(1987) dalam bukunya yang berjudul Malaysian BATIK: Creating New Traditions menjelaskan pembuatan batik Malaysia di abad 20 telah memperlihatkan tradisi baru bangsa Malaysia yang menampilkan jenis dan motif batik yang menjadi simbol bangsa serta mengekalkan nilai sebenar untuk terus diwarisi dan digemari masyarakat yang mendokongnya. Kepentingan dan kesedaran betapa warisan kesenian perlu dikekal dan dipertahankan, memperlihatkan industri batik di Malaysia hari ini semakin berkembang pesat.
Pantai Balok di Kuantan antara lokasi perkelahan yang popular di Pahang. Juga pantai batu Hitam yang dipenuhi pengunjung di hujung minggu dan cuti umum atau persekolahan. Seperti dijanjikan dalam catatan lalu, kali ini saya ingin berkongsi tentang seorang penggiat Batik terkenal di perkampungan Balok.
Encik Ghazali(gambar) berasal dari Kampung Losong, Kuala Terengganu dan telah menetap di Pahang sejak dari tahun 1978. Pada usia menjangkau 46 tahun, beliau telah mengenali batik sejak dari kecil lagi. Menurut Encik Ghazali, batik bukanlah asing baginya. Sejak dari zaman kanak-kanak lagi, beliau sering mengunjungi dan melihat aktiviti membatik yang dijalankan berhampiran dengan rumah beliau. Dari sinilah telah muncul minat dan keinginan beliau bagi mempelajari proses-proses menghasilkan batik. Kegiatan seni batik Encik Ghazali bermula dengan melukis batik di kaki lima sekitar bandar Kuantan dan di pantai Telok Chempedak.

Di Natural Batik Village, Encik Ghazali mempunyai lapan orang pekerja bagi membantu menjalankan perusahaan batiknya. Kesemua pekerja beliau mempunyai peranan mengikut tahap kemahiran masing-masing.


Saya teruja melihat hasil batik lukis motif fauna-figuratif Encik Ghazali yang jarang ditemui pada motif-motif batik lukis di Terengganu dan Kelantan.
Di dapati motif batik lukis yang memperihalkan gambaran peristiwa, simbol keagamaan dan rencah kehidupan masyarakat khususnya kaum Melayu sering menjadi pilihan Encik Ghazali dengan meluahkannya di kain canting. Menurut Encik Ghazali, motif penceritaan dan penggambaran semula ini memerlukan seseorang penggiat berada dalam keadaan `mood’ yang baik. Ini menjelaskan bahawa mood berkait dengan tingkat apresiasi dan ekplorasi dalam karya kraf. Menurut Zakaria Ali(1989), apresiasi seni atau penghargaan seni adalah suatu latihan yang memerlukan penglibatan sepenuhnya deria pandang dan sentuh. Menerusi pemerhatian saya, inilah yang dapat dilihat dalam motif-motif batik lukis yang dihasilkan oleh penggiat di Natural Batik Village.

Rumusnya, antara unsur-unsur yang perlu memainkan peranan penting dalam penghasilan batik ialah idea penggiat, persekitaran, representasi, estetika, ekspresi dan kreativiti. Sesungguhnya segala mengenai batik adalah sungguh bernilai dari perspektif ekonomi, budaya dan sosial!


No comments:
Post a Comment