Wednesday, July 20, 2011

Implikasi Batik Terhadap Pendidikan Seni

Secara umumnya, kesenian kraf seperti batik seharusnya terus diwarisi untuk penghayatan generasi yang akan datang khususnya golongan muda bagi meneruskan kesinambungannya agar seni ini tidak hilang ditelan zaman. Di sinilah peranan pendidikan dilihat berupaya menyemai dan mendidik generasi muda seperti pelajar agar mencintai dan menghargai eksplorasi yang ada dalam seni kraf seperti batik.

Menerusi kajian yang telah dilakukan, kesenian kraf seperti batik boleh dijadikan sumber rujukan ilmiah kepada pelajar-pelajar di pra-sekolah, peringkat rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi dalam usaha untuk melahirkan pelajar-pelajar yang menghargai kesenian warisan bangsa.

Bagi pelajar-pelajar aliran seni, kreativiti antara aspek yang sering diperkatakan apabila menilai idea dan karya-kaya seni yang dihasilkan. Theory of Multiple Talent oleh Taylor dalam Jaffri Hanafi(2008) memperihalkan bahawa ciri-ciri yang dapat mencerna dan menjana idea-idea kreatif antaranya adalah dengan melakukan lawatan-lawatan berbentuk akademik. Inovasi dan inventif dalam pembelajaran dapat disemai ke dalam diri pelajar menerusi pengalaman yang mereka lalui ketika melakukan lawatan ke lapangan.

Dewey(2005) dalam Art As Experience turut menegaskan bahawa pengalaman merupakan kunci dalam membina keyakinan dan pengamatan dalaman serta luaran manusia terhadap apa ingin dilakukan dalam konteks tertentu.

Lazimnya, kritikan seni tidak dapat dipisahkan dengan hasil akhir sesebuah karya atau hasil seni. Oleh yang demikian, pembelajaran dan pengajaran oleh pelajar dan guru semasa aktiviti lawatan akademik dilihat dapat dimanfaatkan melalui kritikan seni di lapangan akademik yang dilawati seperti pelajar menyatakan apa yang dilihat, menganalisa, menginterpretasi dan melakukan penilaian.

Oleh yang demikian, lawatan akademik oleh sekolah atau pusat pengajian tinggi ke pusat aktiviti kesenian kraf seperti perusahaan batik di Natural Batik Village boleh dimanfaatkan oleh pelajar-pelajar untuk tujuan ini.

Natural Batik Village di Balok ini turut dilihat berpotensi dalam memberi pendedahan awal terhadap kesenian kraf batik kepada generasi muda terutama pelajar-pelajar di bangku sekolah melalui bengkel dan kelas mencanting batik lukis yang diadakan pada setiap hujung minggu. Menerusi latihan dan pembelajaran secara praktikal yang diperolehi di lapangan, pelajar-pelajar ini akan mendapat pemahaman yang lebih jelas dengan diberi peluang melalui setiap proses-proses mencanting dan mewarna batik lukis. Pendedahan awal ini berupaya memberi gambaran dan pengetahuan yang lebih jelas kepada pelajar berkenaan dengan penumpuan, estetika, representasi dan kreativiti. Pendekatan Bloom(1956) menerusi domain kognitif, efektif dan psikomotor boleh diguna dan dipraktikkan di lapangan oleh para pelajar dan guru.

Usahasama dan program di antara pihak sekolah dengan pusat-pusat kesenian kraf seperti batik lukis wajar diadakan dan dirintis dengan menjadikan pusat-pusat kesenian tersebut sebagai rakan sekolah atau anak angkat sekolah bagi tujuan pembelajaran teori dan praktikal di lapangan. Natural Batik Village dilihat berpotensi menjadi sebahagian dari program pendidikan ini.

Pusat-pusat pengajian tinggi yang mengambil bahagian dilihat berupaya mendapat pelbagai manfaat dari program-program seperti ini. Program praktikal dalam kalangan pelajar-pelajar jurusan seni boleh dimanfaatkan dengan dihantar menjalani latihan kemahiran ke pusat kraf seperti di Natural Batik Village untuk satu tempoh tertentu dilihat boleh mengarap bakat-bakat muda di samping menyemai ke dalam diri pelajar supaya menghargai kesenian kraf ini. Objektif utama program seperti ini tidaklah bermaksud untuk melahirkan penggiat-pengiat batik di kalangan generasi baru tetapi lebih kepada mendekatkan masyarakat muda kepada aktiviti seni di lokasi atau lapangan agar mereka dapat melihat dan meneroka sendiri potensi kraf seperti batik untuk dihayati dan dipelajari. Secara tidak langsung, ini dapat melahirkan pelajar yang beriltizam dan berdaya saing dalam mencari ruang dan peluang-peluang perniagaan selepas tamat pengajian mereka.

Secara keseluruhannya, kajian ini turut memberi impak kepada pertambahan bahan-bahan bacaan ilmiah untuk pendidikan seni dan dapat dijadikan sebagai bahan rujukan kepada generasi akan datang terutama golongan pelajar mengenai kesenian kraf. Secara tidak langsung telah berjaya memperkenalkan Natural Batik Village sebagai pusat kegiatan kesenian kraf batik di Pahang, terutama berkaitan dengan eksplorasi terhadap motif batik lukis di negara kita.

No comments:

Post a Comment

Artikel Paling Dilawati