Monday, August 17, 2009

KAEDAH MENGALAKKAN KREATIVITI

Bagi menggalakkan dan merangsang pemikiran kreatif di kalangan para pelajar, terdapat beberapa kaedah telah dikenalpasti. Di antara kaedah-kaedah tersebut adalah seperti dijelaskan di bawah:

Kaedah Sumbangsaran

Kaedah ini adalah salah satu kaedah yang dikenalpasti boleh membantu meningkatkan kreativiti seseorang pelajar dalam penghasilan karya secara menyeluruh. Faktor asas kepada sumbangsaran ialah mengasingkan proses penghasilan idea daripada proses menilai. Aktiviti sumbangsaran adalah perlu difokuskan kepada kuantiti idea dan saranan yang disampaikan melalui interaksi sesama pelajar.

Guru perlu bijak apabila menggunakan kaedah sumbangsaran ini, agar proses penjanaan idea serta perkembangannya dan juga proses penyelesaian masalah yang dikemukakan oleh pelajar tidak akan terbantut. Kadang-kadang penyelesaian yang diberikan mungkin tidak relevan dan tidak logik. Proses menilai, perbincangan dan kritikan perlu dikemudiankan agar proses sumbangsaran ini dapat berjalan dengan lancar. Kecenderungan untuk menilai samada saranan tersebut sesuai ataupun tidak, ianya sedikit sebanyak akan mengganggu keseluruhan proses tersebut.


Idea-Idea Baru

Selain daripada menggunakan kaedah sumbangsaran, sekolah juga boleh dijadikan sebagai tempat untuk memperkembangkan kebolehan dan kreativiti pelajar. Penggunaan kaedah-kaedah ataupun pendekatan yang tertentu di samping membuat penyelesaian kepada persekitaran ataupun kedua-duanya sekali. Triffinger (1986) di dalam Md. Nasir Ibrahim & Iberahim Hassan(2003) telah mencadangkan satu model pembelajaran secara kreatif. Beliau telah mencadangkan proses bagi mencerna idea-idea baru yang lebih kreatif dipecahkan kepada tiga paras utama. Tiga paras tersebut adalah:

(a) Paras 1
Mempelajari alat-alat asas untuk berfikir yang mana guru seharusnya mengakui kepentingan dalam proses mengajar pelajar menguasai beberapa alat asas bagi melahirkan dan menganalisa idea-idea seperti perbincangan jenis sumbangsaran.

(b) Paras 2
Mempelajari dan melatih pelajar menggunakan model-model penyelesaian masalah. Para pelajar belajar dan berlatih menggunakan dan menerapkan kaedah penggunaan peralatan untuk berfikir cara yang kreatif dalam mencari penyelesaian yang lebih kompleks dan sistematik.

(c) Paras 3
Menghadapi segala permasalahan dan cabaran yang sebenar iaitu pelajar-pelajar dicabar bagi menggunakan alat-alat asas serta kaedah menyelesaikan masalah tersebut.

KAEDAH LAIN MENGGALAKKAN KREATIVITI
Bagi menjana dan menggalakkan perkembangan kreativiti terdapat beberapa kaedah lain yang dikenalpasti untuk tujuan tersebut. Di antara kaedah-kaedah tersebut adalah seperti diperjelaskan di bawah:

Kaedah Penyimpanan Data menggunakan Dairi Visual

Kaedah penyimpanan data melalui catatan dan lakaran di dalam dairi visual adalah di antara salah satu kaedah yang selalunya diamalkan oleh pelukis dan pereka yang aktif berkarya dari masa kemasa. Kaedah ini biasanya berlaku secara berterusan. Dan sesetengah daripada mereka menggunakan istilah buku lakaran (Sketches Book) bagi tujuan ini. Walau bagaimanapun ia adalah merupakan satu kaedah yang sama sahaja.


Di dalam dairi visual selalunya pelukis akan mencatat segala maklumat-maklumat yang digunakan bagi menghasilkan sesuatu karya di kemudian hari. Di samping catatan-catatan penting, mereka juga akan melakar idea-idea awal yang akan dikembangkan untuk menghasilkan idea yang sebenarnya nanti. Kadangkala perkembangan idea permulaan penghasilan juga dilakarkan di dalam dairi ini. Salah satu contoh dairi visual yang menjadi rujukan hingga ke hari ini adalah dairi visual yang dihasilkan oleh Leonardo Da Vinci.

Dairi visual ini juga berperanan seumpama dairi harian yang kita gunakan. Cuma yang berbeza pada dairi visual adalah ianya menjadi sumber untuk seseorang pengkarya itu merekod segala cetusan idea kreatif yang pertama kali terlintas pada pemikiran mereka. Manakala isi kandungannya pula yang lebih menjurus kepada catatan serta lakaran-lakaran kreatif awal proses penghasilan sesebuah karya. Ini adalah salah satu cara lagi bagi seseorang pengkarya itu merakam dan mencatat perkara-perkara penting yang akan membantunya ketika menghasilkan karya sebenar nanti.

Pameran
Kreativiti di kalangan pelajar juga boleh dipupuk melalui budaya berpameran. Di dalam kontek ini, hasil-hasil karya yang telah dihasilkan oleh pelajar melalui aktiviti-aktiviti yang dijalankan akan dipilih berdasarkan kepada tema-tema yang ditentukan oleh pihak sekolah atau penganjur.

Salah satu sebab mengapa kita perlu mempamerkan hasil-hasil karya pelajar adalah untuk menilai sejauh mana nilai dan kualiti estetika yang ada pada karya-karya pelajar mereka. Di samping itu, budaya berpameran ini juga secara tidak langsung akan menimbulkan perasaan gembira di kalangan pelajar kerana hasil karya mereka dihargai oleh orang lain. Ini secara tidak langsung akan menggalak dan mendorong mereka untuk berusaha lebih kuat untuk menghasilkan karya yang lebih baik lagi pada masa akan datang.

Budaya mengadakan pameran ini boleh dilakukan secara tiga peringkat. Peringkat yang pertama pameran hasil kerja pelajar boleh diadakan di dalam bilik darjah, peringkat yang kedua pula pameran ini boleh diadakan di peringkat sekolah dan peringkat yang terakhir pameran ini boleh diadakan di galeri-galeri awan setempat. Budaya berpameran ini juga adalah merupakan satu cara motivasi yang berkesan untuk mendorong seseorang pelajar itu untuk terus berkarya.

Membudayakan Persoalan
Dalam kontek membudayakan persoalan ini pula, ia merupakan salah satu cara lagi untuk menggalakan perkembangan idea-idea kreatif. Ketika proses menghasilkan sesebuah karya, biasanya persoalan atau tema-tema yang tertentu akan digunakan sebagai pembuka idea.

Persoalan-persoalan yang selalu digunakan sebagai tema adalah seperti persoalan yang berkaitan dengan alam semulajadi, objek persekitaran, perasaan dalaman, khayalan, imaginasi, tema sejagat dan berdasarkan kepada pengalaman yang lalu. Secara tidak lansung persoalan-persoalan yang digunakan akan dibincang dan dibuat satu bentuk pecahan minda bagi mengembangkan idea-idea kreatif tersebut.

Guru juga perlu menggunakan kaedah sumbangsaran dalam kontek membudayakan persoalan. Apabila kaedah sumbangsaran ini digunakan secara tidak langsung ia akan menggalakkan pelajar untuk berfikir secara lebih kreatif bagi menyesuaikan persoalan di dalam karya-karya baru yang dihasilkan nanti. Bermula dari situlah pelajar akan lebih dekat dan sentiasa memikir dan mencari kaedah-kaedah yang sesuai untuk digunakan bagi menyesuaikan dengan persoalan yang telah dipilih dan digunakan. Ini juga secara tidak langsung akan meletakan persoalan sebagai satu aspek yang penting dan perlu diberikan keutamaan.

No comments:

Post a Comment

Artikel Paling Dilawati