Friday, October 28, 2011

Tulis Buku Bahasa Melayu katalis kenaikan pangkat

Petikan dari akhbar tabloid Kosmo kelmarin(Jumaat 28hb Oktober) berkenaan dengan kreteria bagi kenaikan pangkat kalangan ahli akademik juga antaranya adalah dengan menulis buku Bahasa Melayu adalah sangat dialukan. Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengesahkan bahawa ianya merupakan insentif dalam Pelan Memartabatkan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu di Institut Pengajian Tinggi yang dilancarkan pada Khamis lepas. Beliau turut menyatakan sasaran 30% pengajaran dan pembelajaran dalam Bahasa Melayu bagi gugusan sains pada 2020. Seterusnya menyasarkan 70% pengajaran dan pembelajaran dalam bahasa Melayu bagi gugusan sains dan sosial.

Ini merupakan langkah susulan yang menarik setelah dua pemimpin tertinggi negara iaitu Dato Sri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyidin Yassin sebelum ini turut sama menyarankan agar sektor awam dan swasta dapat berganding bahu dalam memartabatkan penggunaan bahasa Melayu.

Adalah penting langkah-langkah ini disokong oleh segenap lapisan masyarakat dan dalam masa yang sama tidak mmenolak kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa universal.

Berkenaan dengan penulisan buku ilmiah dalam Bahasa Melayu, ianya suatu yang bagus tambahan negara kita sangat kekurangan bahan-bahan ilmiah dalam bahasa ibunda sebagai rujukan. Pakar-pakar ilmu di Institut pengajian Tinggi seharusnya mengambil insentif ini dan sekaligus menaikkan imej dan kualiti pendidikan di negara kita.

Thursday, October 27, 2011

Ranking Universiti tempatan - Kualiti?

Kerap kedengaran universiiti-universiti tempatan di negara kita yang berusaha mendapatkan ranking dunia yang lebih baik. Ianya dilihat positif dan meningkatkan mutu akademik sesebuah universiti. Kelmarin sebuah akhbar bahasa Melayu telah melaporkan impian Universiti Malaya untuk kembali di dalam kelompok 100 universiti terbaik di dunia sebelum 2015. Tidak hairanlah memandangkan Universiti Malaya sebagai universiti tertua di negara ini malahan tidak salah jika dianggap masih yang terbaik khususnya hasil dari aspek penyelidikan R&D yang telah dilakukan di Malaysia.

Di kala kerajaan berusaha menjadikan negara ini sebagai hab pendidikan utama di rantau sebelah sini, adalah mendukacitakan jika masih terdapat lagi universiti yang memiliki penjawat/pensyarah kalangan Doktor atau Prof di dalamnya yang tidak benar-benar berilmu dan jujur dalam meningkatkan mutu akademik di fakulti masing-masing. Barangkali 'lesson plan' tidak benar-benar diuji sebelum dilaksanakan. Atau mungkin pensyarah yang mengajar hanya mengajar apa yang mereka tahu berbanding apa yang patut mereka ajar. Ternyata mangsanya adalah pelajar.

Jika diungkap dari perspektif penyelidikan baik di peringkat sarjana maupun doktor falsafah, penyelidikan kualitatif dan kuantitatif merupakan domain yang menjadi pilihan. Pelajar seharusnya diajar dan memiliki keupayaan bagi mempelajari kedua-dua pendekatan dan ini sangat penting bagi menjayakan sesuatu penyelidikan ilmiah. Jadi bagaimanakah nilainya sesetengah universiti di negara ini boleh mengatakan mereka merupakan sebuah universiti yang bagus jika masih terdapat sesetengah fakulti yang hanya mengajak kalangan pelajar memilih satu pendekatan penyelidikan sahaja( barangkali kerana satu pendekatan itu sahaja yang mereka arif) Fenomena ini merugikan pelajar terutama apabila mereka ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di masa hadapan. Adalah penting dalam disiplin dan ilmu penyelidikan, para pelajar diajar dengan kedua-dua kaedah iaitu kaedah kuantitatif dan kualitatif.

Jikapun seseorang pensyarah condong kepada kaedah penyelidikan kualitatif sahaja sebagai contoh, tidaklah bermakna mereka berhak mengheret pelajar turut sama 'terjun lombong' seperti mereka. Seorang pensyarah yang bagus lagi serba boleh merupakan individu yang peka kepada kualiti pendidikan sebagaimana yang termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Adalah diharap sesetengah pensyarah-pensyarah kalangan doctorate yang hanya 'cari makan' di pusat pengajian tinggi akan segera berundur seandainya tidak amanah dalam menjalankan tugas demi kebaikan kualiti pendidikan anak bangsa untuk hari ini, esok dan masa hadapan.

Usah makan cili jika tidak mau rasa pedas!

Artikel Paling Dilawati