Tuesday, July 27, 2010

Kreativiti Reka Letak Ilustrasi Buku Cerita Kalangan Awal Remaja?

Sejak mendaftar diri kembali ke kampus bitara di Tg Malim, sedikit teruja dengan penerangan dan pandangan penasihat pengajian, Dr Nasir berkenaan dengan pengajian Dr Falsafah ini. Biarpun pada mulanya proposal yang diterima fakulti lebih ke arah pembentukan model pengajaran dan pembelajaran bagi perspektif komunikasi visual dalam subjek Pendidikan Seni Visual di Peringkat Menengah, ternyata topik ini bakal berubah 360 darjah.
Awalnya aku menjangkakan multi metod bakal aku aplikasikan dalam penyelidikan ini tetapi ternyata ianya meleset. Kaedah kualitatif berkemungkinan besar akan menjadi domain dan struktur utama penyelidikan Kajian Kes ini.

Bidang grafik dan periklanan tetap bakal diimplemenkan cuma ianya tegar menyuluh fokus kepada grafik ilustrasi berkomputer pada reka letak buku cerita di kalangan pelajar awal remaja dalam membentuk minat kepada kreativiti menerusi visual. Persepsi, elemen dan prinsip senireka dilihat bakal menjadi kerangka teori yang mengukuhkan penyelidikan ini.

Seperti yang diperkatakan pada awal tadi, perancangan ini masih boleh berubah 360 darjah dan aku sedayanya selaku instrumen utama akan cuba membawa kajian ilmiah ini kepada sesuatu yang dapat mengukuhkan lagi pembelajaran pendidikan Seni Visual terutama yang melibatkan grafik dan periklanan di kalangan pelajar seawal tujuh hingga 12 tahun. Itupun jika kaedah kualitatif 100% walau sebolehnya kaedah multimetod akan diadaptasikan. Kaedah kuantitatif biarpun sedikit tetapi tetap kulihat penting dalam mendokong dapatan kajian ini nanti. Bahkan pengumpulan data nanti pasti memerlukan temubual dengan pakar, pereka dan responden. Apa mungkin survey juga sesuatu yang tidak harus ditolak secara total dan menjadi kemestian dalam mendapat sumber data kali ini?

Masih terlalu awal dan aku habisi waktu-waktu yang terluang dengan membaca untuk penghasilan theoritical framework kajian ini nanti. Terbaru buku berjudul The concept of Art penulisan Haig Khatchadourian(1971) menarik perhatian aku. Buku ini memperjelaskan bahawa ekspresi terhadap kerja-kerja seni seperti melukis, mengukir arca pada asasnya merupakan satu interpretasi minimum tanpa naluri sesal oleh pelakunya dalam mempersembahkan apa yang difikirkan menyumbang kepada estetika kesenian. Banyak lagi kupasan dalam buku ini seperti kepentingan konsep dalam setiap kerja seni, keseronokkan dengan kerja seni adalah asas menentukan kualiti dan kreativiti serta banyak lagi. Buku ini bagus untuk dibaca oleh semua insan yang mencintai seni terutama buat mereka yang berada dalam sarang pendidikan seni visual khususnya.

Monday, June 28, 2010

Kreativiti menerusi animasi 2D & 3D

Tanggal 26hb Mei 2010 yang lalu, aku telah dijemput sebagai antara panel penilai luar dalam persembahan para pelajar Animasi 2D & 3D Semester 4 Sijil Multimedia Kreatif di Dewan Besar Kolej Komuniti Kuantan di Indera Mahkota. Sesi penilaian yang bertemakan 'Creating NEXT animator' bermula waktu pagi hingga petang manakala tengaharinya dirasmikan oleh Pengetua Kolej Komuniti Kuantan, Puan Norlida.

Melihatkan kesungguhan para pelajar dalam menyiapkan tugasan akhir mereka, tidak sangsi untuk mengucapkan syabas kepada tenaga pengajar kursus SAN( Sijil Animasi)dalam membentuk kreativiti spatial para pelajar kepada tahap yang boleh dibanggakan. Keupayaan kecerdasan spatial tergolong dalam 7 kepelbagaian kecerdasan yang diperkatakan oleh Gardner(1993). Kebolehan para pelajar biarpun hanya di peringkat sijil tetapi sebahagian besar daripada mereka menunjukkan kemampuan menghasilkan animasi 2D & 3D yang diluar jangkaan dan dilihat sudah bersedia menyahut cabaran sebagai animator junior.

Ternyata gabungan pembelajaran ilmu periklanan, korporat identiti dan animasi boleh meningkatkan pemahaman disiplin ilmu khususnya tingkat kreativiti komunikasi visual di kalangan pelajar yang tidak mempunyai latarbelakang pendidikan seni visual di peringkat sekolah. Majlis berakhir dengan minum petang bersama pengetua kolej, Puan Norlida.

Terima kasih atas kesudian Kolej Komuniti Kuantan menjemput sebagai Penilai Luar. Juga penghargaan buat sahabat En Zaihairun dan En Hairulnizam, pensyarah animasi di sana.

Antara lensa yang menghentikan detik waktu:








Monday, May 31, 2010

the new Drawing On The Right Side Of The Brain(3)

Meninggalkan sesuatu yang sudah mendarah daging terasa begitu asing. terusik dan kuubati dengan lekatkan hasil-hasil kerja pelajar yang sempat kukumpul untuk semester mereka akhir lalu. 31 Mei tiada jejak kutinggalkan dan aku akan kembali di dunia pendidikan yang bermaruah suatu masa nanti.

Ekspresi Figuratif dari perspektif grafik ilustrasi:


Friday, May 21, 2010

the new Drawing On The Right Side Of The Brain(2)

LAGI Ilustrasi pelajar-pelajar grafik semester 04 dari perspektif marker rendering:
Implementasi pelajar semester ini terhadap kesan cahaya, bayang dan tona.
(Buat kenangan subjek ilustrasi yang kuajar selama lebih 7 tahun)





Thursday, May 20, 2010

the new Drawing On The Right Side Of The Brain

'Marker rendering' bukan suatu yang asing bagi pelajar grafik terutama dalam menghasilkan idea-idea papan cerita. Lakaran 'semi comprehensive' menerusi marker rendering antara gerak kerja yang perlu dalam proses menjana idea kreatif papan cerita dan iklan cetak.

Dalam kalangan pelajar grafik di Cosmopoint, terdapat juga pelajar yang tidak langsung mempunyai latarbelakang pendidikan seni visual dari peringkat sekolah. Bagaimanapun, melalui gabungan kecerdasan efektif dan psikomotor di studio sepanjang pengajian, pelajar yang tidak berlatarbelakangkan pendidikan seni visual dilihat berupaya menghasilkan ilustrasi yang baik melalui penggunaan media 'marker'. Teknik parallel antara yang menjadi kegemaran para pelajar. Menerusi beberapa teknik melukis yang betul yang diadaptasi dari penulisan Betty Edwards(2008) berjudul the new Drawing On The Right Side of The Brain telah berjaya mendorong pelajar lebih tekun dan yakin dalam melakukan aktiviti melukis imej visual terutama dari perspektif marker rendering.

Semoga ilmu yang dikongsi ini dapat dimanfaatkan para pelajar semua.

Antara persembahan hasil ilustrasi pelajar grafik semester 04 Cosmopoint Kuantan:






Wednesday, May 19, 2010

Persembahan Pelajar Grafik Tahun Akhir

Pada 13hb Mei 2010 yang lalu, jam 10.30am pelajar-pelajar Tahun Akhir Diploma Seni Reka Grafik Berkomputer Cosmopoint Kuantan telah mempersembahkan tugasan akhir mereka.
Kolej telah menjemput dua orang panel penilai luar iaitu En Hairulnizam dan En Zaihairun dari Jabatatan Kreatif Multimedia(Animasi)Kolej Komuniti Indera Mahkota, Kuantan bagi memberi maklumbalas hasil rekaan akhir para pelajar.

Sesi kritis ilmiah TERAKHIR ini merupakan benchmark atau pengukur aras keupayaan pelajar dalam menyelesaikan tugasan, menambahbaikkan rekaan yang sedia ada di samping menampilkan idea-idea baru yang kreatif. Ianya gambaran awal dunia pekerjaan yang bakal mereka harungi.

Selamat maju jaya buat semua pelajar-pelajar akhir dalam menempuh alam pekerjaan kelak.







Tuesday, April 20, 2010

Imaginasi Proses Awal Kreativiti

"Potensi dan fungsi otak sebenarnya lebih jauh daripada apa yang kita jangkakan" kata-kata itu diungkapkan oleh Tony Buzan dalam Program Meneroka Minda-minda Hebat anjuran Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands 22 Mac lalu.Pada hari tersebut, beliau telah melancarkan Buku Panduan Kemahiran Bahasa Buzan versi Bahasa Malaysia.

Nama Tony Buzan,68 tahun, bukan asing dalam dunia pendidikan terutama pendidikan awal kanak-kanak. Idea Peta Minda beliau telah diterimapakai bukan sahaja dalam pendidikan masyarakat normal malahan diimplemenkan kepada masyarakat kurang upaya dalam membuka fungsi kedua-dua belah otak mereka.

Daya ingatan manusia diperakui semakin baik apabila pelbagai warna dan imej dicatatkan di dalam Peta Minda. Oleh yang demikian Buzan berpandangan Peta Minda boleh diperkenalkan kepada kanak-kanak seawal usia setahun.

Otak sebenarnya bersifat sinergetik iaitu kedua belah otak perlu bekerjasama bagi mendapatkan keberkesanan maksimum.

Asas kepada lahirnya teori Peta Minda Buzan, beliau menceritakan pada suatu hari ketika beliau berada dalam Tren di Kota london, beliau terdengar perbualan seorang anak dengan ibunya. Ketika itu Tren yang dinaiki bergerak dengan kelajuan luar biasa yang tidak seperti hari-hari sebelum ini.

"Mak, alangkah baiknya kalau Tren ini boleh bergerak pantas sehingga masuk ke hari esoknya, bukan? tanya si anak kecil dengan riang. Imaginasi luar biasa kanak-kanak berusia empat tahun itu bagaimanapun dibalas dengan teguran ibunya "Sudah jangan fikir bukan-bukan"

Buzan mengagumi kredibiliti khayalan anak kecik tadi dan beliau berpendapat khayalan atau imaginasi seharusnya tidak disekat. Sebabnya setiap anak mempunyai kebijaksanaan kreatif yang boleh diasah, diasuh dan kreativiti itu lazimnya bermula dengan khayalan. Malahan Albert Eistein sendiri pernah mengakui imaginasi adalah elemen penting disebalik kejayaan penemuan sainsnya.

jelasnya, imaginasi merupakan proses terawal dalam proses kreatif dan imaginasi juga boleh menjadi realiti.

(Adaptasi dari artikel : Imaginasi Buzan Akhbar KOSMO Isnin 22 Mac 2010)

Wednesday, March 17, 2010

Kesyukuran Konvokesyen ke 12( 16hb Mac 2010 )

Setelah 2 tahun menyambung pengajian dalam ilmu pendidikan di Universiti Pendidikan Sultan Idris, akhirnya segulung sarjana Pendidikan Seni/M.ed(Arts) diperolehi. Ilmu yang dihimpun sangat bererti dan semoga dapat menyumbang kepada pendidikan anak bangsa selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Majlis Konvokesyen kali 12 sidang pertama ini dirasmikan oleh Tunku Bainun, Permaisuri negeri Perak.
Bersyukur ke hadrat Illahi kerana dengan limpah rahmatNya memberi kekuatan dapat menamatkan pengajian sarjana dengan jayanya. Berkat restu dan doa dari ayah & ibu serta adik-adik pastinya.

Terima kasih tak terhingga terutama buat Prof Madya Tuan Haji Iberahim Hassan ( subjek kurikulum dan isu-isu penilaian), Dr Izani( penasihat ilmu seminar), Dr Suhaimi( Sejarah Kesedaran Visual Di Malaya), Bapak Tjetjep( subjek metodologi dan subjek Seni & Budaya), Dr Roskang ( subjek Kreativiti), En Abu Bakar Sabran ( Penulisan Akhir), Dr Kuan Wai Bin (subjek naturalistik Inquiri dan subjek Pentadbiran Pendidikan)dan semua pensyarah pasca siswazah serta rakan-rakan sepengajian di Fakulti Seni & Muzik.

Tidak lupa sekalung penghargaan dan kasih buat isteri dan anak-anak yang memahami kesibukan sepanjang 2 tahun pengajian. Juga ucapan terima kasih tak terhingga buat sahabat dan guru, En Jaffri Hanafi Di Fakulti Pendidikan Di Universiti Malaya. Tak lupa penghargaan buat sahabat yang jauh di mata, Saiful Akram di Universiti Sana'a di Yaman.

Terima kasih semua!

Alhamdulillah, dengan himpunan doa dan pedoman dari semua, sedikit sebanyak menguatkan lagi azam untuk meneruskan lagi pengajian dalam penyelidikan Dr Falsafah pada bulan Mei nanti.


Antara Gambar Yang Menghentikan Waktu:


Sebelum perarakan masuk ke Dewan



Selepas keluar dari Dewan konvokesyen.
Diterpa anak dan anak buah dengan belon figuratif:
no flowers pls :)


Sebelum memasuki Dewan Konvokesyen


kejayaan seorang lelaki mesti ada seorang wanita dibelakangnya!


Bukan lagi mimpi!


Mengenggam keringat ilmu yang dianugerahkan


dengan adik ipar


Perarakan masuk ke dewan beriringan dengan graduan Ijazah!

Friday, January 1, 2010

Salam 2010

Selamat Menempuh tahun 2010 dengan kesyukuran dan semoga tahun 2010 menjadi tahun yang lebih baik buat kita semua.

Bersama-sama kita panjatkan doa pada Illahi agar kita sentiasa dirahmati-Nya.
Azam dan amalan yang lepas, masih saya bawa ke tahun ini.

Amalan membaca yang masih sederhana dan tahun ini perlu dipergiatkan.
Ada misi yang masih jauh dan perlu terus diperjuangkan.
Buat teman-teman, semoga persahabatan dan silaturahim antara kita kekal selamanya.

Salam Hormat,
sharulnizam

"The More you read - The less you know"

Rekaan grafik akan kekal bersama penyelidikan pendidikan yang akan dilakukan

me and illustrator design

Artikel Paling Dilawati