Wednesday, June 29, 2011

Ghazali & Natural Batik Village


Menurut Arney(1987) dalam bukunya yang berjudul Malaysian BATIK: Creating New Traditions menjelaskan pembuatan batik Malaysia di abad 20 telah memperlihatkan tradisi baru bangsa Malaysia yang menampilkan jenis dan motif batik yang menjadi simbol bangsa serta mengekalkan nilai sebenar untuk terus diwarisi dan digemari masyarakat yang mendokongnya. Kepentingan dan kesedaran betapa warisan kesenian perlu dikekal dan dipertahankan, memperlihatkan industri batik di Malaysia hari ini semakin berkembang pesat.

Pantai Balok di Kuantan antara lokasi perkelahan yang popular di Pahang. Juga pantai batu Hitam yang dipenuhi pengunjung di hujung minggu dan cuti umum atau persekolahan. Seperti dijanjikan dalam catatan lalu, kali ini saya ingin berkongsi tentang seorang penggiat Batik terkenal di perkampungan Balok.

Encik Ghazali(gambar) berasal dari Kampung Losong, Kuala Terengganu dan telah menetap di Pahang sejak dari tahun 1978. Pada usia menjangkau 46 tahun, beliau telah mengenali batik sejak dari kecil lagi. Menurut Encik Ghazali, batik bukanlah asing baginya. Sejak dari zaman kanak-kanak lagi, beliau sering mengunjungi dan melihat aktiviti membatik yang dijalankan berhampiran dengan rumah beliau. Dari sinilah telah muncul minat dan keinginan beliau bagi mempelajari proses-proses menghasilkan batik. Kegiatan seni batik Encik Ghazali bermula dengan melukis batik di kaki lima sekitar bandar Kuantan dan di pantai Telok Chempedak.

Pada akhir tahun 80-an, beliau telah membuka kilang batik sendiri di Semambu dan pada tahun 2004, kilang batik beliau telah berpindah ke Balok. Sejak dari itu, produk batik beliau mula terkenal dan mendapat tempat di pasaran tempatan.
Di Natural Batik Village, Encik Ghazali mempunyai lapan orang pekerja bagi membantu menjalankan perusahaan batiknya. Kesemua pekerja beliau mempunyai peranan mengikut tahap kemahiran masing-masing.


Terdapat dua kaedah utama dalam menghasilkan batik di Natural Batik Village iaitu melalui kaedah membatik secara terap/cop dan kaedah membatik secara canting atau lukis. Menerusi pemerhatian secara langsung dan temubual, saya mendapati penghasilan motif-motif dari batik lukis merupakan nadi kepada perusahaan membatik Encik Ghazali. Berdasarkan temubual secara tidak berstruktur, Encik Ghazali berpendapat bahawa motif melalui batik lukis lebih memberi kepuasan dan tinggi kualiti serta nilainya jika dibandingkan dengan batik terap. Ini menurut beliau, disamping motif-motif batik lukis memberi kepuasan kepada pelanggan, ia juga secara tidak langsung memberi keyakinan dan inovatif yang berterusan kepada diri penggiat bagi melahirkan idea-idea yang lebih kreatif dan menarik lagi berdasarkan kehendak pasaran dan cita rasa pengiat itu sendiri.


Saya teruja melihat hasil batik lukis motif fauna-figuratif Encik Ghazali yang jarang ditemui pada motif-motif batik lukis di Terengganu dan Kelantan.
Di dapati motif batik lukis yang memperihalkan gambaran peristiwa, simbol keagamaan dan rencah kehidupan masyarakat khususnya kaum Melayu sering menjadi pilihan Encik Ghazali dengan meluahkannya di kain canting. Menurut Encik Ghazali, motif penceritaan dan penggambaran semula ini memerlukan seseorang penggiat berada dalam keadaan `mood’ yang baik. Ini menjelaskan bahawa mood berkait dengan tingkat apresiasi dan ekplorasi dalam karya kraf. Menurut Zakaria Ali(1989), apresiasi seni atau penghargaan seni adalah suatu latihan yang memerlukan penglibatan sepenuhnya deria pandang dan sentuh. Menerusi pemerhatian saya, inilah yang dapat dilihat dalam motif-motif batik lukis yang dihasilkan oleh penggiat di Natural Batik Village.

Inilah juga antara mengapa saya tertarik untuk datang serta melihat sendiri lokasi dan karya -karya batik lukisnya. Satu dari karya cantingnya yang menarik perhatian saya apabila berada di sana adalah ketika Encik Ghazali sedang mencanting seekor naga(foto dibawah)yang ditempah oleh pelanggan berbangsa tionghua. Saya akan paparkan antara karya-karyanya yang sempat saya dokumenkan untuk dikongsikan pada catatan akan datang. Biarpun Encik Ghazali bersifat pemalu namun beliau menerima baik kehadiran saya dan sekumpulan pelancong asing yang berkunjung pada masa itu. Ternyata nilai dan estetika hasil batik di Natural Batik Village akan terus mengamit pengunjung dan jika anda ke sini pasti 'kurang' sempurna jika tidak mengunjungi bahagian kraftangan di premis hadapan Natural Batik Village yang dialun dengan muzik gamelan yang mengingatkan saya ketika berkunjung ke kedai-kedai kraf di Yogyakarta suatu ketika dahulu. Dewey(2005) menyatakan bahawa peranan estetika secara tidak langsung telah memberi nilai dan kualiti terhadap hasil seni yang dihasilkan. Justeru, gabungan warna dan objek yang dicanting pada motif batik lukis telah memperlihatkan kesungguhan dalam diri penggiat bagi meluahkan nilai-nilai yang indah pada setiap motif yang dihasilkan.
Rumusnya, antara unsur-unsur yang perlu memainkan peranan penting dalam penghasilan batik ialah idea penggiat, persekitaran, representasi, estetika, ekspresi dan kreativiti. Sesungguhnya segala mengenai batik adalah sungguh bernilai dari perspektif ekonomi, budaya dan sosial!

Proses menindihkan warna berkali-kali ke atas motif


Pelancong asing menyaksikan demo batik cop dan lukis

Thursday, June 23, 2011

Kata Collingwood



Lucu, saya hanya ada sehelai dua baju batik bermotif flora dan saya belum mampu membeli karya atau hasil batik lukis terutama dari idea gabungan fauna figuratif dan alam yang boleh dipamerkan pada dinding di rumah sendiri( seperti 2 contoh hasil batik lukis dalam foto disebelah). Sebesar saiz A2 tanpa frame sudah mencecah ratusan ringgit. Itu pengalaman saya apabila berkunjung ke sebuah pusat kegiatan batik di daerah Kuantan, Pahang beberapa tahun dahulu.

Batik merupakan sebahagian daripada seni kraf. Kraf didefinisikan sebagai perusahaan(kerja seni) yang melibatkan kemahiran kerja tangan seperti alat domestik, alat permainan, alat pertahanan diri, perhiasan diri (ornamen), batik, tekat, ukiran, tenunan, anyaman dan tembikar.

Collingwood(1938) menjelaskan bahawa kraf merupakan sebagai satu aktiviti kesenian yang melibatkan rekabentuk dan kemahiran serta kecekapan tangan dalam mengolah atau mengubah bahan asas yang dipilih.

Beliau turut menyatakan bahawa kraf selalunya membabitkan hubungan di antara alat dan media yang mana merujuk pada dua pengertian yang tidak sama tetapi saling memerlukan dan berkaitan.

Menurut beliau lagi, apa juga bentuk fizikal seni yang sedang diproses secara teknikal hingga mendapatkan hasil pada akhirnya merupakan seni kraf. Segala aktiviti seni kraf secara tipikalnya mempunyai enam karektor iaitu perkaitan yang membezakan di antara aktiviti pertengahan dan aktiviti akhir, perbezaan di antara perancangan dan pelaksanaan, semasa perancangan lazimnya karya akan dipilih manakala semasa perlaksanaan pula hasil akhir sahaja diutamakan, keupayaan membezakan di antara bahan mentah dan produk siap, keunggulan dilihat pada bentuk dan jirim manakala karektor terakhir yang ditegaskan oleh Collingwood ialah seni kraf mempunyai tiga peringkat iaitu bahan mentah daripada hasil kraf yang akan digunakan bagi menghasilkan satu produk kraf yang lain, melibatkan bahan mentah yang dihasilkan bagi menambah fungsinya kepada produk lain dan perdagangan yang mempersembahkan hasil kraf.

Pada catatan akan datang, saya ingin memperkenalkan seorang penggiat yang begitu sinonim dengan batik di Balok, Kuantan, Pahang. Beliau juga merupakan individu yang menghasilkan 2 hasil karya batik lukis dalam foto diatas. Mungkin anda juga boleh mengunjungi ke lapangan hasil tangan beliau apabila berkunjung ke Kuantan satu masa nanti!

Monday, June 20, 2011

Kamera DSLR Untuk Amatur


Walaupun beberapa rakan memberi pandangan yang tipikal tentang Brand Nikon ini berbanding EOS Canon 600D yang dikatakan lebih mudah difahami ikon-ikonnya namun tidak salah berkongsi tentang keluaran terbaru Nikon ini khususnya untuk mereka yang baru berjinak-jinak dengan fotografi. PANDANGAN stereotaip mengenai kamera DSLR hanya untuk jurufoto profesional sudah begitu kuat melekat di fikiran kita selama ini, mungkin sudah boleh dibuang jauh-jauh dengan kehadiran DSLR ini yang dikatakan berharga sekitar RM 2400-2600.

Antara yang menarik pada DSLR D5100 adalah efek-efek/kesan khas yang terdapat pada DSLR D5100 iaitu kamera pertama keluaran Nikon yang boleh melakukan kesan khas sama seperti yang terdapat dalam perisian Photoshop. Manakala ciri-ciri fizikal yang jelas pada produk baru Nikon itu adalah sendi pada monitor LCD yang bersaiz 7.5 sentimeter boleh digerak pelbagai sudut yang berbeza mengikut kesesuaian dan ketinggian pengguna.

Monitornya boleh dibuka secara horizontal sehingga 180 darjah serta mampu dipusing ke atas dan ke bawah pada sudut maksimum, 270 darjah.DSLR D5100 juga boleh menghasilkan kesan khas seperti lakaran lukisan dengan hanya perlu mengawal keterangan warna dan ketebalan garisan luar imej berpandukan pada paparan monitor.

Bukan itu sahaja, kamera ini juga mampu menghasilkan kesan khas pada foto yang kelihatan seakan-akan miniatur dengan menggunakan kesan diorama dalam fungsi D5100.
Bagi rakaman video pula, kamera Nikon itu berkemampuan membuat rakaman dalam format video berdefinisi tinggi (HD).

Walaupun D5100 berada dalam kelas paling rendah iaitu kategori amatur tetapi ia boleh dipasang mikrofon pada luar badan kamera. Tampak ianya sesuatu yang begitu menarik!
Ini adalah kerana penggunaan mikrofon stereo amat berguna dalam rakaman supaya bunyi yang dirakam tidak diganggu dengan bunyi getaran kanta auto-fokus ketika pengambaran.
Selain daripada itu, DSLR 5100 ini juga dilengkapi dengan fungsi D-Movie.

Saya agak teruja apabila memegang sendiri DSLR ini dua minggu lalu namun masih lagi membandingkannya dengan Canon EOS 600D. Jika anda berminat untuk membelinya pastikan jaminan penyelenggaraannya dilakukan hanya di dalam negara ini dan bukannya perlu dihantar ke kilang Nikon di luar negara!

Saturday, June 18, 2011

Amalan Membaca Rakyat Malaysia Makin Menurun?

Dewasa ini, amalan membaca dalam kalangan masyarakat di negara ini masih rendah malah di tahap yang membimbangkan. Secara purata, setiap rakyat Malaysia hanya membaca satu halaman buku setiap tahun.

Pada tahun 2005, satu kajian telah dijalankan secara usaha sama antara Perpustakaan Negara Malaysia dan Jabatan Perangkaan Malaysia bertujuan untuk mengenal pasti profil tabiat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia sebagai kesinambungan daripada kajian yang telah dijalankan pada tahun 1996. Data-data yang diperolehi telah dianalisis dan laporan kajian ini telah disediakan oleh sekumpulan panel penulis yang diketuai oleh Prof. Datin Dr. Rahimah Hj. Ahmad iaitu Pengarah Institut Pengajian Kepengetuaan dari Universiti Malaya.

Kajian tersebut telah dijalankan secara temubual bersemuka menerusi kaji selidik berstruktur melibatkan informen seramai 60,441 orang atau bersamaan dengan 0.23% jumlah penduduk Malaysia. Kajian telah menumpukan kepada golongan yang berumur 5 tahun ke atas dan melibatkan kawasan persekitaran yang berbeza iaitu penduduk di bandar dan di luar bandar. Kajian telah mendapati bahawa peratusan ‘boleh membaca’ atau literasi membaca rakyat Malaysia pada tahun 2005 adalah 92.0% bagi mereka yang berumur 10 tahun dan ke atas. Sebagai perbandingan, Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia pada tahun 1996 telah mendapati bahawa kadar literasi rakyat Malaysia bagi mereka yang berumur 10 tahun dan ke atas ialah 93.0%. Ini bermakna dalam tempoh 10 tahun lalu, didapati kadar literasi rakyat Malaysia telah menurun sebanyak 1.0% bagi kumpulan umur 10 tahun ke atas. Terdapat tiga punca utama kalangan masyarakat di Malaysia tidak membaca iaitu mereka lebih berminat kepada aktiviti lain (60.4%), tiada masa lapang (15.2%) dan tidak berminat membaca (13.5%).

Kajian Olahan Semula Profil Membaca Rakyat Malaysia pada tahun 2010 pula merumuskan bahawa secara puratanya, golongan yang berusia 10 hingga 40 tahun membaca 8 buah buku setahun, manakala mereka yang berumur lebih daripada 40 tahun hanya membaca enam buah buku setahun. Fenomena ini menjelaskan bukti bahawa tahap pembacaan dalam kalangan masyarakat di negara ini masih sangat rendah dimana menjelaskan bahawa semakin meningkat umur seseorang maka semakin menurun tabiat membaca dalam kalangan penduduk di negara ini. (Sumber: Perpustakaan Negara - 17 Feb 2011)

Sunday, June 12, 2011

Sejarah ilustrasi Buku Kanak-Kanak di Malaysia?

Menurut Md Sidin (2008), buku kanak-kanak merupakan buku yang mengandungi gambar-gambar dan ilustrasi sebagai elemen yang lebih penting dari teks atau taipografi. Menurut beliau, buku bacaan kanak-kanak yang pertama di Malaysia telah diterjemah dan dihasilkan pada tahun 1818 oleh Claus Henrich Thomsen yang berjudul Menolong Segala Anak.
Penerbitan buku kanak-kanak di Malaysia dikatakan semakin aktif dan mula mendapat sambutan masyarakat pada awal tahun 70-an dan 80-an. Konsep yang banyak dihasilkan dalam buku kanak-kanak adalah berdasarkan kisah binatang, pari-pari, mitos, lagenda, misteri, pengembaraan, hantu, persekolahan, fiksyen sains, jenaka, agama, informasi dan puisi.
Oleh itu, Md Sidin berpendapat bahawa buku kanak-kanak berperanan dalam menggambarkan sosio budaya dalam sesebuah masyarakat.

Walau sebaik mana sekalipun sesuatu penceritaan di dalam buku kanak-kanak namun ilustrasi memainkan fungsi yang lebih penting dalam menarik minat golongan kanak-kanak. Menurut Harris (2008), golongan kanak-kanak lebih memilih buku kanak-kanak yang dapat menarik minat mereka. Antaranya adalah jenis buku kanak-kanak yang mempunyai ilustrasi yang menarik, jalan cerita yang menawah hati, tema humor, siri pengembaraan dan bertemakan penyelesaian masalah.

Wednesday, June 1, 2011

Teori Minda?

Satu teori yang pernah dimplemenkan dalam melihat tingkah laku manusia maupun haiwan iaitu:

Theory of Mind yang telah diperkenalkan oleh Premark & Woodruff pada tahun 1978 dimana mereka menyatakan bahawa keupayaan dan kemampuan otak dalam melambang dan memperlihatkan perlakuan dan sifat seperti keinginan, minat, kepercayaan, belajar dan ingin tahu tentang dirinya sendiri, sesuatu perkara, benda dan juga tentang manusia lain.

Berdasarkan pernyataan mereka:

An individual has a theory of mind if he imputes
mental states to himself and others. A system of
inferences of this kind is properly viewed as a
theory because such states are not directly
observeable, and the system can be used
to make predictions about the behavior of
others.
(mukasurat 515)

Masih menyukat pro dan kontra andai teori ini mahu diadaptasikan ke dalam kajian saya terhadap minat dan kaitannya dengan buku kanak-kanak. Mungkin tidak sesuai dipraktikkan untuk 'indirect observation' terhadap kanak-kanak atau mungkin tidak salah jika tetap ingin juga diuji keberkesanannya.

Apapun saya masih punya beberapa pilihan lain seperti teori dari Jean Piaget, Vev Vgotsky dan Albert Bandura. Semoga ketemu yang lebih ampuh di hari mendatang! InsyaAllah

Artikel Paling Dilawati