Tuesday, August 18, 2009

PROSES PERTUMBUHAN KREATIVITI : Peta Minda

Intro:

Guru merupakan individu yang sangat penting dalam proses menggalakkan pertumbuhan kreativiti di kalangan pelajar. Terdapat pelbagai kaedah dan proses untuk menambahkan kreativiti. Untuk tujuan itu beberapa kaedah telah pun dikenalpasti untuk menggalakkan lagi proses pertumbuhan kreativiti. Di antara kaedah-kaedah tersebut adalah:

Kaedah Analogi
Kaedah Analogi adalah satu daripada kaedah yang dikenalpasti boleh membantu dan menambahkan lagi ke arah perkembangan minda kreatif. Kaedah ini telah diperkenalkan oleh William Jj. Gordon dan George Prince pada tahun 1961.

Analogi bermaksud membuat perbandingan dua benda yang berbeza tetapi mempunyai beberapa persamaan. Kaedah ini memberikan penekanan terhadap usaha bagi menerbitkan idea-idea yang baru dan inovatif dengan menggunakan proses penggabungan. Proses penggabungan ini akan berlaku secara sewenang-wenangnya ataupun kadangkala ianya dikenali juga sebagai proses pengabungan pelbagai konteks.

Plsek (1997) menjelaskan bahawa apabila kita menggunakan kaedah analogi dalam menyelesaikan masalah dan menambahbaikan kaedah berkenaan secara berperingkat, secara tidak langsung sebenarnya kita cuba untuk mengenal pasti beberapa prinsip dan konsep dalam sesuatu keadaan itu. Kemudian ia akan diadaptasikan serta disesuaikan dengan keadaan kita. Kaedah ini banyak menggunakan kaedah analogi serta metafora sebagai instrumen bagi melahirkan idea-idea kreatif serta asli. Kaedah ini juga terbahagi kepada tiga jenis yang utama iaitu :

(a) Jenis Analogi Peribadi
Jenis Analogi Peribadi melibatkan diri secara tidak langsung dengan segala permasalahan yang dihadapi. Diri individu adalah menjadi punca kepada segala permasalahan yang dihadapi. Bagi tujuan untuk memahami dan menghayati situasi sesuatu permasalahan yang dihadapi, individu itu sendiri akan berfungsi memainkan peranan utama serta melakonkan watak-watak yang tertentu di dalam proses untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan tersebut. Latihan simulasi akan digunapakai bagi tujuan ini. Teknik ini juga boleh menjanakan idea dengan cara membayangkan diri sendiri di dalam alam benda yang ingin direka cipta.

(b) Jenis Analogi Alam
Jenis Analogi Alam merupakan perbandingan yang dibuat berdasarkan pada sifat dan fungsi makhluk yang terdapat dalam alam. Melalui pengamatan, pemerhatian dan penyelidikan pada sifat serta fungsi flora dan fauna. Ini secara tidak langsung akan dapat memberikan ilham dan inspirasi untuk kita menyelesaikan semua permasalahan yang dihadapi. Tuhan yang maha berkuasa dan maha mengetahui mengingatkan kita bahawa di sebalik setiap kejadian itu mempunyai hikmahnya tersendiri. Ia boleh diperolehi dengan syarat seseorang individu mesti mengkaji dan berfikir. Berdasarkan elemen-elemen yang terkandung pada flora dan fauna merupakan sumber ilham kepada manusia untuk menghasilkan ciptaan inventif yang baru seperti kapal terbang, kapal selam dan ciptaan-ciptaan inventif yang lain.

(c) Jenis Analogi Fantasi
Jenis Analogi Fantasi adalah berdasarkan pada fikiran imaginasi atau pada aspek angan-angan sahaja. Imaginasi akan terbit dalam minda melalui cara pengembaraan minda secara berangan-angan. Berangan-angan adalah merupakan satu perkara yang menyeronokkan dan dapat memberikan idea-idea baru bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul. Contohnya taman tema kanak-kanak yang tersohor di dunia iaitu Walt Disney Theme Park yang dibina berdasarkan angan-angan Walter Elias Disney. Menurut beliau, dia mendapat idea untuk membina taman tema berkenaan semasa menemani anaknya bermain-main di padang permainan yang berdekatan dengan kediamannya.


* Kaedah Peta Minda (Mind Mapping)
Peta Minda adalah analogi daripada kejadian dan pemerosesan maklumat yang berlaku di dalam otak. Peta ini diperkenalkan oleh seorang pengkaji minda yang bernama Tony Buzan. Beliau telah membuat kajian yang sangat mendalam tentang peta minda ini. Di samping itu juga, beliau telah pun menerbitkan lebih daripada sepuluh buah buku berkenaan dengan peta minda ini.

Buzan (1986) menegaskan di dalam bukunya yang berjudul ‘Use Your Memory’, peta minda adalah sesuatu yang sangat unik dan banyak membantu secara langsung dalam banyak aktiviti seharian. Contohnya, seperti membuat catatan nota, menyelesaikan permasalahan dan membuat keputusan telah menjadi kaedah yang utama dalam membuat sesuatu perancangan.

Bagi Tony Buzan, peta minda adalah berpaksikan pada sel-sel saraf pusat iaitu ‘neuron’. Otak manusia mengandungi lebih kurang sepuluh billion sel-sel saraf neuron aktif. Ia berbentuk seakan-akan seperti sebuah sarang yang dibina oleh seekor labah-labah manakala jari-jemarinya pulak berbentuk seperti sotong kurita.

Sel-sel neuron ini memproses maklumat secara rawak dan menyeluruh. Segala maklumat yang diperolehi akan dihubungkaitkan antara satu sama lain, dipertalikan, dianalisa kemudian digabungkan dan akhir sekali maklumat berkenaan akan dikelolakan bagi tujuan menemukan jaringan maklumat yang kita kehendaki.

Langkah-Langkah Membina Peta Minda
Dalam proses menghasilkan peta minda yang berkesan, beberapa langkah asas perlulah dipatuhi seperti berikut:

(a) Letakkan kata kunci di tengah-tengah. Kata kunci merupakan titik tumpuan yang utama pada sesuatu isu yang dikembangkan. Selain daripada patah perkataan, gambar, kod dan simbol-simbol yang sesuai boleh digunakan sebagai panduan ketika menghasilkan peta minda.

(b) Selepas itu, kita perlu mengenalpasti subkata kunci yang ditulis berhampiran dengan kata kunci. Seterusnya, subkata kunci dimuatkan pada mana-mana bahagian dan arah pada rantaian peta minda. Contohnya dalam rajah:

(c) Hubungan antara kata kunci, subkata kunci dan sub-subkata kunci yang lain perlulah selari dan dihubungkan dengan satu rangkaian garisan yang bersambungan di antara satu sama lain.

(d) Warna dan corak boleh juga digunakan bagi menunjukkan perbezaan di antara satu idea dengan idea yang lain.

1 comment:

  1. kalu boleh tahu, ciri-ciri peta minda oleh tony buzan mcm mne pulak ye??

    ReplyDelete

Artikel Paling Dilawati