Saturday, December 31, 2011

Selamat Datang 2012


Tahun 2011 telah meninggalkan kita. 365 hari yang telah berlalu dipenuhi dengan pelbagai ragam dan warna-warni kehidupan. Apakah pencapaian terbaik anda sepanjang tahun 2011?
Pasti hebat dan insyaAllah akan lebih cemerlang di tahun 2012!
Mudah-mudahan usaha dan iltizam akan berterusan dan impian bakal menjadi kenyataan. Segala ilmu dan pengalaman bergumpal satu lantas kekal beriringan bagi membina kekuatan diri buat menempuh hari-hari mendatang.

Selamat Tahun Baru 2012!

I wish you and your family, a successful, healthy and prosperous New Year 2012!

Cheers,
Sharulnizam Ramli

Monday, December 26, 2011

Jangan hanya Adobe Photoshop sahaja..


(Paparan Perisian Adobe Ilustrator CS5)

Hari ini, ingin berkongsi sedikit pandangan berkenaan dengan penggunaan Adobe Photoshop yang sememangnya sudah terkenal dan rata-rata sudah ramai pakar-pakar dalam menggunakan perisian ini baik di sektor awam atau swasta.

Kebetulan ada berbual dengan bakal seorang guru pendidikan seni baru-baru ini yang begitu 'senang' dengan perisian tersebut. Bagus tu! Sekurangnya Seni visual dilihat kini bukan hanya memfokuskan kepada seni konversional atau tradisional semata-mata. Penggunaan seni digital pasti dapat menarik para pelajar khususnya di peringkat rendah atai menengah di masa depan.

Dari perbualan, berasa sedikit hairan bila dimaklumkan perisian Adobe Photoshop digunakan 100% dalam semua kerja desktop publishing atau penghasilan item korporat identiti??

Secara umumnya, Adobe Photoshop lebih kepada gerak kerja menerusi komputer atau laptop terhadap memanupulasikan imej/foto(raster) manakala Adobe Ilustrator amat berkesan dalam menghasilkan visual vektor khususnya dalam penghasilan item-item korporat seperti logo, rekabentuk surat rasmi, memo, poster, hingga ke outdoor items seperti billboard, bunting serta banner dan banyak lagi. Seharusnya penggunaan taipografi dilakukan di perisian Adobe Ilustrator pada imej yang telah dimanipulasi di perisian Adobe Photoshop. Terutama apabila menggunakan taipografi yang banyak.

InsyaAllah jika dua perisian asas digital ini(cth:berkenaan dengan senireka grafik)iaitu Adobe Photoshop dan Ilustrator dapat dikuasai seimbang oleh bakal atau para guru, ilmu Allah yang dikongsi di dunia ini dapat disebarkan kepada pelajar-pelajar kita di masa depan sekaligus berupaya menarik minat serta keyakinan mereka terhadap seni visual baik seni bentuk 2D maupun 3D. InsyaAllah masyarakat tidak lagi melihat seni hanya berkenaan dengan melukis atau mengukir semata-mata.

-Hanya pandangan peribadi-

Monday, December 5, 2011

Avant Garde

Feldman(1992) dalam bukunya Varieties Of Visual Experience menjelaskan seni wujud seiring dengan kesan sejarah dan ketamadunan manusia yang masih berkembang seiring dengan pembangunan dan kemajuan manusia berserta zamannya. Ini jelas bahawa sesuatu kebudayaan itu bermula dengan satu pembangunan serta berasaskan perkembangan perasaan peribadi seseorang individu dan seterusnya dengan kelompok sosial dan keagamaan kerana manusia mempunyai keperluan biologis, sosial dan spiritual. Oleh itu, pembangunan tersebut berterusan dengan menggunakan seni sebagai satu instrumennya.
‘Avant Garde’ secara umumnya bermaksud gerakan kumpulan pakar atau kelompok manusia yang mahir dalam bidang tertentu seperti kemahiran tinggi terhadap seni tampak atau visual, bahasa ataupun seni muzik di mana individu di dalam kumpulan ini tidak dipengaruhi oleh aliran, kaedah dan pemikiran konvensional atau radikal yang terdahulu.
Seni moden ini secara umumnya merangkumi karya-karya artistik yang dihasilkan sepanjang tempoh dari tahun 1860-an hingga 1970-an dan menunjukkan gaya dan falsafah dari seni yang dihasilkan pada zaman itu. Istilah seni moden biasanya berkaitan dengan seni di mana tradisi dan kaedah masa lalu telah dibuang menerusi penemuan baru atau eksperimentasi yang berulang. Oleh yang demikian, seniman atau artis moden melakukan eksperimen dengan kaedah dan cara baru bagi melihat serta mencipta idea-idea baru tentang sifat, bahan dan fungsi seni. Sesuatu kecenderungan secara abstrak ini adalah merupakan antara ciri-ciri seni moden yang sering disebut sebagai seni kontemporari atau seni postmodern.
Dari skop sejarah, Avant Garde berasal daripada dalam perkataan Perancis yang bererti barisan hadapan yang merujuk kepada sekumpulan manusia yang melakukan aktiviti bersendirian dan hasil kerja yang terhasil adalah menerusi eksperimen baru yang berkaitan dengan seni, budaya dan politik. Ia begitu ketara melewati batas-batas norma yang biasa ditemui pada definisi seni, budaya dan realiti. Hasil dari penerapan di Perancis, ia telah bermula pada 17hb Mei 1863 sebagai refleksi dan reaksi kepada pembukaan Salon des Refuses di Paris. Sekumpulan pelukis tempatan telah mengetuai gerakan seni ini ekoran daripada hasil karya seni mereka yang ditolak oleh masyarakat terdahulu.
Terdapat beberapa tingkat aliran seni Avant Garde di Eropah. Antaranya adalah Konstruktivisme di Rusia, Cubism dan Futurisme di Itali, Dada di Switzerland, Bauhaus di Jerman dan De Stijl di Belanda.

Artikel Paling Dilawati