Saturday, December 13, 2014

Lukisan gua terawal di Malaysia

Adalah dipercayai lukisan gua yang terawal ditemui di Malaysia adalah pada tahun 1900 di Gua Badak, daerah Lenggong, Perak. Lukisan tersebut dipercayai telah dihasilkan beratus tahun dahulu oleh kaum negrito yang menghuni gua tersebut(Ahmad Suhaimi, 2008).

Satu lagi gua yang hebat di Perak adalah gua tempurung. Pengalaman saya menjelajahi sejauh 4km di dalam Gua Tempurung(foto) pada bulan Oktober 2014 yang lalu mendapati terdapat beberapa lakaran lukisan gua pada batu-batuan pada dinding gua tersebut. Namun tidak dapat dipastikan penghasilan imej tersebut dari zaman batu atau di era ini. Dengan ada anak sungai yang mengalir di dasar gua menambahkan keunikkan fenomena alam di dalamnya.
Pengamatan saya juga mendapati terdapat deruan angin sejuk pada satu bahagian di dalam gua tersebut yang begitu istimewa sekaligus menunjukkan betapa hebatnya ciptaan Allah swt.

Daripada pengamatan itu, saya telah lahirkan dua karya berjudul Gua tempurung: one point perspective berkonsepkan warna panas & warna sejuk sebagai tanda kenangan saya pernah menjelajah gua tersebut. Insyaallah saya akan pamerkan nanti setelah gabungan digital painting dan akrilik tersebut siap.



Sunday, November 9, 2014

Modul bertema: Guru menjana atau menyekat kreativiti?

Itu judul jurnal terbaru saya yang diterbitkan oleh Akademi Pengajian Melayu Jilid 24, Universiti Malaya.

Sharulnizam Ramli,Sabzali Musa Kahn,Jaffri Hanafi,2014. Kreativiti Menerusi Modul Bertema: Guru Menjana Atau Menyekat Kreativiti Kanak- Kanak.Jurnal Pengajian Melayu UM, Jilid 24,2013-2014:63-81


Abstraknya:
Guru prasekolah berperanan sama ada menjana kreativiti atau tanpa disedari menyekat kreativiti kanak-kanak. Antara faktornya seperti mengongkong dan membataskan idea kanak-kanak ketika aktiviti seni visual berteraskan modul bertema. Kanak-kanak seharusnya diberi kebebasan menentukan idea-idea mereka sendiri dan guru membantu agar aktiviti-aktiviti seni yang dilakukan oleh kanak-kanak mencapai objektif sebagaimana yang terkandung dalam Tunjang Estetika dan Kreativiti. Pengalaman sangat penting ke atas proses imaginasi kanak-kanak

Percambahan idea dan penumpuan serta berani mengambil risiko merupakan antara elemen penting dalam proses kreativiti. Pemahaman mengenai prinsip-prinsip dan elemen-elemen senireka dalam pengajaran dan pembelajaran seni visual berlandaskan modular bertema harus diutamakan. Guru juga perlu kreatif dan berusaha meningkatkan ilmu pengetahuan khususnya berkenaan dengan pendidikan seni visual bagi menjayakan hasrat ini. Usaha guru dalam menjana kreativiti kanak-kanak di tahap praskematik adalah sangat dipuji namun ada lompang-lompang yang perlu diperbaiki.


Tuesday, November 4, 2014

Lukisan imej oleh manusia zaman batu pada dinding gua: Kebetulan atau kepandaian semulajadi?

Imej pada firasat Rudolf Arnheim mewakili tanda, simbol dan gambaran. Ketiga-tiga ini membawa satu atau lebih makna dan pada keadaan tertentu akan saling berkaitan bergantung kepada kemahuan manusia yang menilainya,

Tiada yang menafikan bahawa lukisan-lukisan gua adalah bukti manusia pada zaman batu telah menghasilkan imej-imej awal tersebut. Antaranya di Altamira. Ada yang menyatakan penghasilan imej pada dinding-dinding gua berpunca daripada persekitaran manusia tetapi masakan secara tiba-tiba manusia pada zaman itu pandai melukis imej-imej tersebut hanya berdasarkan dengan melihat. Haiwan buruan menjadi fokus utama penghasilan imej. Mengapa? Mungkin benar kerana daging merupakan makanan utama manusia pada era tersebut. Namun dari mana datangnya kepandaian manusia pada era tersebut hingga mampu melukis imej-imej tersebut? Apakah kebetulan atau kepandaian semulajadi?

Kongsikan pendapat anda tentang persoalan ini.


Wednesday, March 5, 2014

Fasa Akhir penulisan desertasi Phd

Berada dalam fasa akhir penulisan penuh sebelum draf disertasi Phd diserahkan menjelang Jun 2014. Selebihnya tawakal kepada Yang Maha Esa semoga segala yang diusahakan sentiasa dipermudahkan semasa dipanggil UM untuk sesi 'vating' akhir kelak.

 Istilah kreativiti kerap didefinisikan oleh manusia berdasarkan bidang tertentu yang didokong oleh mereka dalam masa-masa tertentu. Tidak mudah mendefinisikannya malah tidak senang menyemainya hatta pada peringkat awal kanak-kanak jika tanpa ada usaha daripada semua pihak. Selaras dengan hasrat kerajaan terhadap kepentingan dalam pertumbuhan industri kreatif dan inovatif negara, output yang dihasilkan kelak semoga dapat membuka mata kepada ramai pihak yang berkenaan bahawa kepentingan bidang seni visual seharusnya diletakkan sama aras dengan kepentingan bidang sains dan teknologi dalam menyumbang kepada kemodenan negara menjelang wawasan 2020.

Diharap penulisan dan dapatan penyelidikan kreativiti terhadap penghasilan imej ini akan dimanfaatkan sebagai pembacaan dan diambil tindakan oleh mereka yang prihatin untuk kejayaan penyelidikan selanjutnya di masa hadapan.

Artikel Paling Dilawati