Wednesday, December 9, 2009

Penulisan pertama buku DBAE?


Sesudah tamat pengajian sarjana ini, agak sibuk dengan tugasan di kolej. Di samping itu saya juga sedang usahakan penerbitan sebuah buku berkenaan dengan DBAE bersama seorang `sifu' dan sahabat dari Universiti Malaya.

Akan keluarkan abstrak nanti!
Terima kasih

Monday, November 2, 2009

Tokoh Kreativiti - Ellis Paul Torrance

Beliau merupakan salah seorang daripada penyelidik dan pemikir akademik yang sangat terkenal di dunia. Berbagai kajian dan teori-teorinya dalam bidang kreativiti masih lagi segar dan digunakan dalam bidang pendidikan sehingga hari ini. Berdasarkan kepada penulisan dan kerja-kerja penyelidikannya di dalam bidang kreativiti dan pendidikan akhirnya beliau telah diiktiraf sebagai Bapa Kreativiti (Father’s Of Creativity).
Credit to: https://geniusrevive.com/en/ellis-paul-torrance-father-of-modern-creativity/

Torrance juga bertanggungjawab dan berjaya mencipta satu kaedah penanda aras bagi membolehkan proses pengukuran tahap kreativiti pada seseorang individu. Instrumen yang telah berjaya beliau bangunkan dan perkenalkan adalah ‘Torrence Test of Creative Thinking’ (TTOCT). Di samping membangunkan pengujian dan pengukuran kreativiti beliau juga mencipta serta memperkenalkan teori kreativiti di dalam proses penjanaan kreativiti seseorang individu. Beliau telah mengaris dan memperkenalkan tujuh perkara utama dalam proses penjanaan kreativiti individu.

Tujuh perkara tersebut adalah:

(a) Penyoalan
Bagi tujuan untuk merangsang pemikiran seseorang pelajar proses penyoalan adalah sangat penting dan perlu dipraktikkan. Di samping itu, penyoalan juga boleh mengalakkan dan merangsang daya pemikiran pelajar berkenaan. Di dalam proses pembelajaran seni visual, sesi kritikan seni boleh melahirkan dan mewujudkan cetusan pemikiran kritikal yang baik.

(b) Penemuan
Penemuan adalah merupakan satu aspek yang penting dalam usaha untuk memberikan galakan dan ransangan oleh guru kepada pelajar untuk tujuan mengalakkan penemuan-penemuan yang terkini melalui kajian dan juga penyelidikan. Dalam hal ini pelajar digalakan mencuba serta melakukan berbagai ekplorasi dan eksperimen bagi mencari penemuan terkini melalui aktiviti-aktiviti seni visual.

(c) Pemerhatian
Pemerhatian ataupun observasi ini adalah merujuk kepada penggunaan pelbagai deria yang terdapat pada manusia. Biasanya apabila kita memperkatakan tentang pemerhatian, ia berkaitrapat dengan aktiviti-aktiviti dan penghasilan lukisan. Di dalam proses pendidikan seni visual, proses pemerhatian tidak hanya tertumpu pada pengamatan sahaja malahan juga merangkumi deria-deria lain termasuklah deria sentuhan, rasa, hidu dan dengar.

(e) Percubaan
Percubaan dan ekperimentasi yang berterusan bagi mendapatkan hasil yang terbaik adalah satu proses penghasilan kerja yang sangat baik diamalkan di kalangan pelajar. Seseorang yang kreatif tidak akan berhenti dari bereksperimentasi bagi memastikan apa yang dihasilkannya adalah sesuatu yang terbaik. Secara tidak lansung proses mendidik pelajar supaya tidak mudah berpuas hati dan berputus asa dalam membuat ekperimentasi akan berupaya membina satu pengalaman yang berguna ketika menghasilkan karya.

(f) Penerokaan
Galakan kepada pelajar bagi membuat penerokaan dan ekplorasi dengan menggunakan pelbagai bahan dan peralatan yang terdapat di sekeliling kita. Dalam konteks ini, pendidik dalam bidang pendidikan seni digalakkan untuk membimbing pelajar untuk menggunakan bahan terpakai yang terdapat di sekeliling mereka dalam proses menghasilkan karya. Proses ini secara tidak langsung akan membuatkan pelajar berkenaan akan menjadi lebih peka dan sensitif di samping berupaya menjadi seorang individu yang mampu untuk menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling.

(g) Memanipulasi
Seseorang individu yang mampu bertindak dan menghasilkan sesuatu melalui bahan atau keadaan yang ada merupakan satu proses memanipulasi yang sempurna. Ini bermakna apabila seseorang pelajar mampu menggunakan bahan dan objek yang berada di sekelilingnya untuk menghasilkan satu karya seni maka proses memanipulasi telah pun berlaku. Manakala di dalam proses pembelajaran seni pula, ia mampu menyedarkan pelajar supaya lebih berjimat cermat di samping mengelakan dari melakukan pembaziran penggunaan bahan semasa menghasilkan karya.

(h) Aktiviti / Bermain

Aktiviti bermain juga boleh meransang kreativiti individu. Bagi seorang kanak-kanak bermain adalah merupakan satu situasi yang penuh dengan keseronokan dan cabaran. Kreativiti seseorang kanak-kanak akan lebih terangsang melalui aktiviti-aktiviti yang sempurna dan berbentuk akademik. Ini dengan secara tidak langsung akan membantu merangsang proses perkembangan pemikiran dan kreativiti yang sihat.

Wednesday, October 7, 2009

FAKTOR-FAKTOR PENGHALANG KREATIVITI

Di dalam keghairahan seseorang pendidik itu mendidik dan membimbing pelajar, terutamanya di dalam bidang pendidikan seni kadang kala akan wujud pelajar buntu ataupun kabur dalam menghasilkan sesuatu hasil karya seni yang kreatif. Terdapat beberapa faktor yang boleh mengakibatkan seseorang pelajar buntu dalam melahirkan idea-idea kreatif. Diantara faktor-faktor itu adalah:

(i) Tekanan Dari Guru
(ii) Tekanan Dari Rakan Sebaya
(iii) Tekanan Dari Persekitaran

i)Tekanan Dari Guru

Seseorang pelajar itu akan mengalami kebuntuan idea yang sangat ketara dalam proses menghasilkan dan menyiapkan hasil kerja yang kreatif yang telah diberikan oleh guru. Keadaan ini akan berlaku bila mana guru terlalu mengokong tanpa memberikan peluang kepada pelajar untuk menghasilkan rekaan yang diingini. Apabila berlakunya keadaan begini ianya akan menjadi satu tekanan dan ianya juga akan mengongkong pelajar berkenaan untuk memperkembangkan idea-idea kreatif yang terlintas di dalam minda mereka.

Secara tidak langsung, perkara ini akan menjadi satu penghalang kepada perkembangan kreativiti di kalangan pelajar. Sebagai seorang pendidik yang pintar dan berpengetahuan yang luas serta terbuka pemikirannya, beliau sudah semestinya bertindak sebagai pembimbing dan bukannya bertindak sebagai penghalang kepada proses perkembangan pemikiran kreatif di kalangan pelajar-pelajarnya.

Bates, J. K.(2000) menyarankan bahawa seorang pendidik itu perlulah menjadi rakan dan sumber inspirasi kepada pelajar-pelajarnya sendiri di dalam proses membentuk mereka ke arah kecekapan menyelesaikan dan menghasilkan satu karya kreatif yang menarik. Kita sebagai seorang pendidik perlulah bersedia untuk menjadi pakar rujuk kepada pelajar.

Kaedah ‘Problem Solving’ merupakan salah satu cara yang telah dikenal pasti dapat melatih minda pelajar supaya boleh berfikir dengan cara yang lebih baik dan berkesan dalam menyelesaikan sebarang permasalahan yang mendatang.


ii) Tekanan Dari Rakan Sebaya
Faktor tekanan daripada rakan sebaya juga merupakan salah satu sebab yang boleh menyebabkan kreativiti seseorang pelajar itu akan terbantut. Omardin Ashaari(1999) menjelaskan, terdapat empat kumpulan pelajar dan rakan sebaya yang utama di dalam proses pembelajaran di dalam bilik darjah. Empat kumpulan berkenaan adalah:

(i) Kumpulan pelajar yang mempunyai sikap sahsiah yang seimbang dan resional.
(ii) Kumpulan pelajar yang mempunyai sikap sahsiah yang matang dan seimbang.
(iii) Kumpulan pelajar yang mempunyai sikap sahsiah yang seimbang.
(iv) Kumpulan pelajar yang mempunyai sikap sahsiah yang kurang seimbang.

Kumpulan-kumpulan pelajar ini adalah terdiri daripada rakan sebaya yang setiap hari berada disekeliling setiap individu pelajar itu setiap hari. Sekiranya di dalam sebuah kelas itu mempunyai peratusan kumpulan pelajar dari kumpulan satu dan dua, kebarangkalian pelajar-pelajar dari kelas berkenaan untuk menyelesaikan sebarang permasalahan mungkin tidak mempunyai halangan dan tekanan.

Tekanan mungkin akan berlaku dikalangan pelajar kiranya kelas berkenaan mempunyai peratus pelajar dari kumpulan tiga dan empat yang tinggi. Kekurang sikap yang matang dan seimbang dikalangan pelajar dari dua kumpulan ini akan menyebabkan proses kreativiti itu akan menjadi lambat dan lembab. Pengaruh daripada rakan sebaya yang matang dan mempunyai pemikiran yang lebih seimbang akan menjadi satu perlumbaan dan persaingan yang sihat bagi menyelesaikan sebarang permasalahan dengan cara yang lebih kreatif dan efektif. Tekanan dikalangan rakan-rakan sebaya ini boleh dikurangkan sekiranya kelas berkenaan mempunyai purata peratusan yang seimbang pelajar dari semua kumpulan. Ini secara tidak langsung akan wujud satu suasana proses pembelajaran daripada rakan sebaya (learn from peer group). Perasaan rendah diri mungkin akan berjaya dikurangkan.

iii) Tekanan Dari Persekitaran (Budaya dan Keluarga)

Faktor-faktor persekitaran seperti budaya dan keluarga juga adalah di antara faktor-faktor lain yang meyumbang kepada penghalang kreativiti seseorang pelajar itu. Keadaan ceria di persekitaran sekolah dan bilik perlu juga diwujudkan, supaya seseorang pelajar itu dapat bergiat dengan cergas dalam aktiviti pembelajaran. Persekitaran sekolah sperti organisasi, struktur dan suasana pesekitaran yang kurang baik dan tidak kondusif juga merupakan penyumbang kepada tekanan dan menjadi penghalang kepada pelajar untuk berfikir dengan cara yang lebih kreatif.

Budaya dan sikap sambil lewa juga akan mempengaruhi daya dan tahap pemikiran seorang pelajar itu supaya dapat berfikir dengan cara yang lebih kreatif. Ini kerap berlaku terumanya dikalangan pelajar yang lemah disegi pencapaian akademiknya, kerana budaya serta sikap yang kurang menyenangkan ini akan mengurangkan motivasi dan tidak memberikan perangsang kepada mereka untuk memikirkan dan menerbitkan idea-idea baru yang menarik.

Sikap dan sokongan daripada ibu dan bapa juga sangat penting dalam memberikan perhatian terhadap proses pembelajaran anak-anak. Ibu bapa mempunyai pengaruh yang sangat kuat terhadap cara kehidupan seseorang pelajar itu. Mereka merupakan pencetus dan sumber ilham kepada pelajar.
Mereka juga boleh memberikan galakan dan sokongan kepada pelajar untuk berjaya dan mendapat pencapaian akademik yang cemerlang. Sebuah keluarga yang berpecah-belah belah juga boleh menyebabkan tekanan emosi dan perasaan seseorang pelajar itu dalam pembelajaran.

Donald W MacKinnon (1962) seorang tokoh yang banyak membuat kajian tentang kelompok individu kreatif tertentu seperti jurutera mengatakan bahawa perbezaan yang ketara ibubapa biasa dengan ibu bapa kreatif adalah mereka saling menghormati dan mempercayai kebolehan anak-anak mereka dalam melakukan sesuatu perkara. Mereka tidak akan berasa ragu-ragu ntuk memberikan kebebasan kepada anak-anak mereka untuk mengenali alam dan membuat keputusan mereka sendiri.Amalan-amalan awal sebegini akan membentuk sifat untuk berdikari yang merupakan satu daripada sikap individu yang kreatif.

Disamping itu juga, kewujudan jarak psikologi diantara anak-anak dan kedua ibu bapa dan faktor ini akan membolehkan mereka lebih bebas berbanding dengan anak-anak yang biasa. Kecenderungan untuk mempunyai sifat bebas dikalangan anak-anak banyak dipengaruhi oleh sifat semula jadi ibu bapa itu sendiri yang lebih gemar akan kebebasan, membenci protokol dan sesuatu yang menyebabkan mereka terikat serta terkongkong.

Rujukan:

Bates, J. K. (2000). Becoming an art teacher. Belmont, CA: Wadsworth

The nature and nurture of creative talent. Mackinnon, Donald W. American Psychologist, Vol 17(7), Jul 1962, 484-495. doi: 10.1037/h0046541

"Creativity… is a process extended in time and characterized by originality, adaptiveness, and realization." Except for mathematicians "where there is a low positive correlation between intelligence and the level of creativeness, we have found within our creative samples essentially zero relationship between the two variables." A research study of the characteristics and background of creative architects is extensively discussed. Implications of the nature of creative talent for the nurturing of it in school and college through the processes of education are considered."

Tuesday, September 8, 2009

Teori Perkembangan Kreativiti Wallas

Graham Wallas merupakan salah seorang daripada pengkaji paling awal berkenaan dengan kreativiti dan peringkat-peringkat perlaksnaannya:

PERINGKAT 1

Peringkat persediaan merupakan peringkat awal atau permulaan proses kreativiti itu berlaku.

Pengumpulan Maklumat
Wallas menjelaskan pada peringkat awal proses kreativiti adalah mengumpulkan dan menghimpunkan data serta bahan yang diperlukan untuk penyelesaian sesuatu permasalahan atau pemikiran kreatif. Pada peringkat ini juga seseorang individu itu perlu peka terhadap permasalahan ataupun isu yang akan cuba diselesaikan. Contohya, semua idea-idea ataupun saranan yang diperolehi pada peringkat ini merangkumi dari semua arah. Seterusnya semua idea-idea dan saranan itu cuba dikenalpasti tentang kesahihan, kewujudan dan persoalannya. Pada peringkat akan berlaku proses penyiasatan yang terperinci bagi tujuan untuk memperkayakan idea-idea ataupun saranan tadi.

Selain itu, ia akan melibatkan proses didikan intelek secara ekperimentasi dan juga logikal di samping menagih pengetahuan serta pengalaman seseorang individu itu.

PERINGKAT 2

Proses Penyelesaian Masalah
Pada peringkat ini berlaku juga proses penyelesaian masalah kepada idea-idea dan saranan yang pertama itu. Terdapat beberapa cara penyelesaian pada permasalahan idea pertama ini yang dijelaskan oleh Wallas seperti membaca, mencatat, berbincang, bertanya, mengumpul dan meneroka. Beberapa alternatif penyelesaian difikirkan, beberapa kekuatan dan cara penyelesaian serta kelemahan akan dikenal pasti.

Di samping itu juga, sekiranya seseorang individu itu mengambil kira banyak pandangan serta pendapat dari individu lain, ianya seolah-olah telah lari dari sifat asal kreativiti yang lebih mementingkan keutamaan idea yang asli serta satu identiti yang khusus. Senario ini dilihat belum lagi mendapat jawapan yang jelas dan nyata. Walau bagaimanapun sekiranya seseorang pencipta itu telah pun mendengar pelbagai pandangan daripada pihak lain, perlulah diingatkan bahawa seseorang itu perlu mengesahkan ideanya tersendiri supaya idea berkenaan mudah dan bebas berkembang secara sendiri tanpa sebarang gangguan daripada perkara-perkara lain. Pada peringkat ini, ianya seolah-olah memberikan satu makna dan pengertian kepada penerokaan idea yang pertama. Idea yang pertama tadi juga, akan bertindak sebagai pengerak awal yang memberikan arahan dan sebab- musabab kepada penerokaan tersebut.

Manakala di dalam bidang seni visual pula, ianya memerlukan peringkat persediaan yang lebih khusus. Sesuatu penciptaan yang baru memerlukan satu teknik penciptaan yang mantap dan berkesan. Contohnya, dalam bidang periklanan , citarasa pengguna terlebih dahulu perlu dikenalpasti dan idea yang mana paling kukuh serta berjaya mempengaruhi pengguna. Instrumen penciptaan ini menyediakan pelbagai teknik yang berbeza di dalam proses menzahirkan sesuatu idea baru dalam penghasilan karya seni yang kreatif.

Oleh itu, setiap pencipta perlulah benar-benar mengetahui dan menguasai sesuatu bidang terlebih dahulu sebelum menerokainya. Di peringkat ini juga, emosi seseorang itu akan sarat dengan perasaan berkeinginan dan tidak sabar untuk menyelesaikan permasalahan idea-idea dan saranan tersebut.

(BERSAMBUNG)

Sunday, August 30, 2009

KREATIVITI MENERUSI LAWATAN AKADEMIK



(lawatan Akademik Ke Yogja bersama Prof Tjetjep)
Bergambar dengan Ketua Kursus dan para tenaga pengajar Seni di Universitas Negeri Yogjakarta bulan September 2008 (bersamaan hari Kemerdekaan Indonesia)



Aktiviti-aktiviti lawatan akademik biasanya bergantung kepada keprihatinan dan kecekapan seseorang guru atau pensyarah bagi merancang dan melaksanakan lawatan berdasarkan pengalaman yang ada. Persediaan atau langkah awal yang perlu dilakukan oleh guru atau pensyarah sebelum mengadakan lawatan akademik adalah dengan memastikan bahawa tujuan dan keperluan dan kebaikan yang diperolehi pada mata pelajaran yang diajar dan pelajar- pelajarnya.

Merancang Sesi Kritikan Seni
Apabila kita merancang untuk melawat ke tempat-tempat akaemik maka kita boleh merancang mengadakan sesi kritikan terhadap hasil-hasil karya seni ataupun bahan kesan-kesan peninggalan sejarah seni yang dipamerkan di tempat berkenaan. Pemilihan kepada aktiviti membuat kritikan seni adalah sebagai salah satu kaedah untuk mencernakan idea-idea dan pemikiran yang kreatif terhadap penghasilan karya-karya seni.

Kritikan seni adalah merupakan satu kaedah untuk melihat dan bercakap dalam bidang seni. Sekirannya kita melihat karya seni itu tanpa berfikir maka hasil karya berkenaan tidak akan memberikan apa-apa makna dan pengertian. Dan sekiranya kita melihat serta cuba berfikir dan membuat tafsiran pada karya berkenaan, ini secara tidak langsung kita telah memberikan makna kepada hasil karya berkenaan.

Berdasarkan pada kaedah kritikan seni yang telah diperkenalkan oleh Getty Centre di Santa Monica, Amerika, terdapat empat langkah yang mudah untuk membuat kritikan seni. Langkah berkenaan adalah:

(a) Penerangan (Description) - What do I see?
Langkah yang pertama adalah anda perlu menerangkan apa yang dilihat. Contohnya, karya seni berkenaan sama ada berbentuk dua dimensi ataupun tiga dimensi (sama ada karya seni berkenaan adalah catan, cetakan, lukisan ataupun arca). Bahan yang digunakan untuk menghasilkan karya tersebut.

(b) Analisa (Analysis) - How the artwork organized?
Langkah yang kedua pula anda melihat bagaimana artis berkenaan mengubah dan memanipulasikan unsur seni dan prinsip rekaan dalam karya yang dipamerkan.

(c) Interpretasi (Interpretation) - What the artist saying?
Langkah yang ketiga, anda cuba untuk meneka apakah mesej-mesej yang terkandung dan cuba disampaikan oleh pengkarya kepada anda.

(d) Penilaian (Judgment) - Is the artwork successfull?
Langkah yang terakhir ini adalah bagaimana anda menilai hasil karya berkenaan sama ada ia sebuah hasil karya yang berjaya ataupun sebaliknya. Sebagai penghayat ataupun penonton pada hasil karya berkenaan kita berhak untuk membuat sebarang bentuk penilaian berdasarkan kepada apa yang kita rasakan.

Langkah-langkah untuk mengkritik hasil karya seni yang dijelaskan di atas adalah sebagai panduan asas semata. Anda sebagai seorang guru yang berpengetahuan perlulah membuat banyak pembacaan dan rujukkan bagi memperkayakan lagi tata bahasa visual apabila mengadakan sesi kritikan seni.

Mengkaji Bahan yang Digunakan
Dalam sesi lawatan akademik, tugasan lain yang boleh diberikan kepada pelajar adalah mengkaji tentang bahan-bahan yang digunakan untuk menghasilkan karya seni. Terdapat beberapa perkara utama dalam proses menghasilkan sebuah karya seni yang menarik. Antara perkara-perkara berkenaan adalah:

(a) Tema yang dipilih dan diekplorasikan.

(b) Pemilihan bahan yang sesuai akan menghidupkan lagi ‘mood’ pada karya berkenaan.

(c) Penggunaa bahan dan bahantara yang sesuai akan mempengaruhi kesempurnaan karya tersebut.

(d) Penggunaan teknik yang sesuai juga akan menjadikan karya berkenaan akan lebih bermakna.

Namun begitu antara perkara yang paling penting dalam proses penghasilan karya adalah pemilihan bahan dan bahantara yang sesuai. Bahan ini terbahagi kepada dua. Bahan yang pertama dikenali sebagai bahan kering (Dry Media) dan bahan yang kedua dikenali sebagai bahan basah (Wet Media). Dalam sesuatu karya yang dihasilkan kadang-kadang artis akan menggunakan kedua-dua bahan ini serentak, ini adalah bagi mendapatkan kesan dan ‘mood’ seperti mana yang dikehandaki oleh mereka.

Bahan kering adalah seperti pensil, pensil arang, pensil warna, krayon, pastel minyak ataupun dengan erti kata lain bahan ini terdiri daripada bahan yang digunakan tanpa perlu dicampukan dengan bahan-bahan cairan yang lain. Manakala bahan basah terdiri daripada cat air, cat minyak, cat poster ataupun dengan takrifan lain bahan ini perlu dicampurkan dengan bahan pencair yang lain ketika hendak digunakan.

Di samping penggunaan dan pemilihan bahan yang sesuai, bahantara juga merupakan salah satu daripada perkara penting yang tidak boleh dipandang ringan begitu saja. Pemilihan bahantara yang sesuai contohnya seperti kertas, kanvas, plywood dan lain-lain permukaan adalah perlu bagi membantu memantapkan lagi karya yang dihasilkan.

Kesimpulannya, tugasan yang diberikan oleh guru atau pensyarah dalam membuat kajian tentang bahan adalah satu aktiviti yang sesuai diadakan semasa lawatan akademik. Ini adalah satu cara agar seseorang pelajar mendapat pendedahan yang sewajarnya secara realiti bagaimana pengkarya menggunakan bahan dan bahantara yang sesuai, idea dan tema yang mereka ingin ketengahkan melalui hasil karya mereka.

Sunday, August 23, 2009

CIRI-CIRI IDEA KREATIF

Sehingga hari ini telah banyak kajian dan penyelidikan tentang ciri-ciri idea kreatif. Antara tokoh yang banyak menjalankan kajian terhadap idea-idea kreatif ini ialah Graham Wallas (1926), Guilford (1950), Lehman (1953), Osborn (1954), Taylor (1956), Getzels (1962), deBono (1970), Foster (1971), Hermann (1984), Trefingger (1986) dan lain-lain lagi.

Hasil daripada kajian yang dijalankan oleh mereka, beberapa ciri-ciri penting tentang idea kreatif telah ditemui dan dirumuskan. Antara ciri-ciri tersebut ialah:

(a) Idea Baru dan Idea Alternatif
Idea baru ialah idea yang segar dan tidak pernah diketahui oleh sesiapa pun. Idea kreatif yang dihasilkan adalah lebih baik dan berkualiti. Ianya juga berwajah baru dari sudut konsep, prosedur dan perlaksaan idea baru tersebut. Idea baru ini tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana idea yang telah sedia ada. Ia wujud di kalangan masyarakat dan tiada seorang individu terfikir tentangnya. Apabila sesuatu idea ditiru dan kemudian telah diadaptasikan dalam bentuk yang baru, idea berkenaan tidak dikira dan diiktiraf sebagai satu bentuk idea yang baru lagi.

(b) Idea Perlu diperluaskan
Idea-idea kreatif baru terbit perlu diperluaskan serta diperkembangkan dengan pengisian tambahan yang lain. Ia juga boleh dikecilkan, dibesarkan dan digabungkan dengan mana-mana idea lama dengan tujuan untuk menghasilkan idea yang lebih bermutu. Idea asal itu boleh diperluaskan dengan gabungan idea-idea baru. Salah satu daripada prinsip inovasi adalah idea baru boleh dipelbagaikan supaya kelihatan lebih menarik dan memiliki ciri-ciri pasaran yang tinggi. Idea yang tidak boleh diperluaskan akan hilang dan pupus menyebabkan ia tidak dapat digunakan lagi.

(c) Tidak Mementingkan Prinsip yang Kompleks
Idea-idea kreatif tidak mementingkan prinsip-prinsip yang kompleks. Ia tidak seperti idea-idea kritis yang mesti melalui beberapa tahap uji kaji dan penilaian sebelum idea berkenaan diterima. Idea-idea kreatif boleh diterbit secara sewenang-wenang dan tidak mempunyai satu peraturan yang khusus. Kadangkala idea-idea yang tidak logik dan gila-gila juga boleh diterima pakai dan digunakan.

(d) Idea Bersifat Mobiliti
Idea kreatif tidak bersifat statik dan kaku malahan ianya bersifat dinamik. Ia boleh bergerak merentasi amalan dan disiplin ilmu bidang lain. Kepelbagaian bidang dan pengalaman menjadikan idea kreatif lebih mudah diterbitkan. Gabungan daripada pelbagai sumber, pengetahuan, pengalaman dan pendekatan bagi menghasilkan idea yang lebih baik serta bermutu. Hari ini, semua bidang kehidupan boleh dikaitkan dengan kreativiti. Kreativiti boleh bergerak menerusi pelbagai saluran, merentasi berbagai benua, bangsa dan tidak mengira apa budaya sekali pun.

(e) Idea Bersifat Diversiti dan Kepelbagaian
Idea yang bersifat diversiti dan kepelbagaian adalah ciri-ciri utama kreativiti. Bagi memanipulasikan idea-idea kreatif, pelbagai kaedah dan pendekatan boleh digabungkan agar ianya mudah dilaksanakan. Berdasarkan idea-idea ini, ia banyak mewujudkan idea-idea alternatif yang baru. Apabila idea pertama gagal digunakan maka idea kedua dan seterusnya boleh digunakan, begitulah seterusnya berlaku.

(f) Idea Bersifat Fleksibiliti
Idea-idea kreatif adalah bersifat fleksibel dan tidak rigid. Ia juga boleh digabungkan ataupun dikurangkan. Namun begitu, ia tidak boleh diketepikan sama sekali dan idea-idea kreatif ini boleh diterbitkan oleh sesiapa sahaja. Tidak kira sama ada individu itu golongan kanak-kanak, remaja, dewasa dan orang tua. Golongan remaja dan dewasa mungkin boleh menghasilkan idea kreatif yang lebih baik daripada orang tua.


(g) Idea Bersifat Eksplorasi

Idea-idea kreatif lahir daripada usaha-usaha penerokaan dan pengamatan deria yang luas terhadap persekitaran. Ini disebabkan oleh idea-idea kreatif bersifat proaktif berbanding dengan idea kritis yang bersifat reaktif. Bagi mendapatkan idea-idea kreatif, seseorang individu itu perlu menerokai alam kanak-kanak, alam remaja, alam dewasa, alam golongan tua dan juga bidang-bidang yang lain. Perkara ini sangat penting bagi memastikan idea-idea kreatif boleh mengambarkan kreativiti yang standard berdasarkan keperluan.

(h) Idea itu Berguna dan Bernilai
Idea kreatif tidak bersifat kompleks, abstrak dan sukar untuk difahami. Idea-idea kreatif boleh dipermudahkan dan berguna. Idea yang berbentuk abstrak, unik dan kompleks tidak akan dapat memberikan manafaat. Oleh itu, ia tidaklah dianggap mempunyai nilai kreatif. Dengan erti kata yang lebih mudah, idea perlu mampu diterjemahkan dan dilaksanakan secara kukuh serta teguh. Idea akan hanya tinggal idea sahaja sekiranya ia tidak dapat memberikan sebarang nilai tambah kepada kita.

Tuesday, August 18, 2009

PROSES PERTUMBUHAN KREATIVITI : Peta Minda

Intro:

Guru merupakan individu yang sangat penting dalam proses menggalakkan pertumbuhan kreativiti di kalangan pelajar. Terdapat pelbagai kaedah dan proses untuk menambahkan kreativiti. Untuk tujuan itu beberapa kaedah telah pun dikenalpasti untuk menggalakkan lagi proses pertumbuhan kreativiti. Di antara kaedah-kaedah tersebut adalah:

Kaedah Analogi
Kaedah Analogi adalah satu daripada kaedah yang dikenalpasti boleh membantu dan menambahkan lagi ke arah perkembangan minda kreatif. Kaedah ini telah diperkenalkan oleh William Jj. Gordon dan George Prince pada tahun 1961.

Analogi bermaksud membuat perbandingan dua benda yang berbeza tetapi mempunyai beberapa persamaan. Kaedah ini memberikan penekanan terhadap usaha bagi menerbitkan idea-idea yang baru dan inovatif dengan menggunakan proses penggabungan. Proses penggabungan ini akan berlaku secara sewenang-wenangnya ataupun kadangkala ianya dikenali juga sebagai proses pengabungan pelbagai konteks.

Plsek (1997) menjelaskan bahawa apabila kita menggunakan kaedah analogi dalam menyelesaikan masalah dan menambahbaikan kaedah berkenaan secara berperingkat, secara tidak langsung sebenarnya kita cuba untuk mengenal pasti beberapa prinsip dan konsep dalam sesuatu keadaan itu. Kemudian ia akan diadaptasikan serta disesuaikan dengan keadaan kita. Kaedah ini banyak menggunakan kaedah analogi serta metafora sebagai instrumen bagi melahirkan idea-idea kreatif serta asli. Kaedah ini juga terbahagi kepada tiga jenis yang utama iaitu :

(a) Jenis Analogi Peribadi
Jenis Analogi Peribadi melibatkan diri secara tidak langsung dengan segala permasalahan yang dihadapi. Diri individu adalah menjadi punca kepada segala permasalahan yang dihadapi. Bagi tujuan untuk memahami dan menghayati situasi sesuatu permasalahan yang dihadapi, individu itu sendiri akan berfungsi memainkan peranan utama serta melakonkan watak-watak yang tertentu di dalam proses untuk menyelesaikan sesuatu permasalahan tersebut. Latihan simulasi akan digunapakai bagi tujuan ini. Teknik ini juga boleh menjanakan idea dengan cara membayangkan diri sendiri di dalam alam benda yang ingin direka cipta.

(b) Jenis Analogi Alam
Jenis Analogi Alam merupakan perbandingan yang dibuat berdasarkan pada sifat dan fungsi makhluk yang terdapat dalam alam. Melalui pengamatan, pemerhatian dan penyelidikan pada sifat serta fungsi flora dan fauna. Ini secara tidak langsung akan dapat memberikan ilham dan inspirasi untuk kita menyelesaikan semua permasalahan yang dihadapi. Tuhan yang maha berkuasa dan maha mengetahui mengingatkan kita bahawa di sebalik setiap kejadian itu mempunyai hikmahnya tersendiri. Ia boleh diperolehi dengan syarat seseorang individu mesti mengkaji dan berfikir. Berdasarkan elemen-elemen yang terkandung pada flora dan fauna merupakan sumber ilham kepada manusia untuk menghasilkan ciptaan inventif yang baru seperti kapal terbang, kapal selam dan ciptaan-ciptaan inventif yang lain.

(c) Jenis Analogi Fantasi
Jenis Analogi Fantasi adalah berdasarkan pada fikiran imaginasi atau pada aspek angan-angan sahaja. Imaginasi akan terbit dalam minda melalui cara pengembaraan minda secara berangan-angan. Berangan-angan adalah merupakan satu perkara yang menyeronokkan dan dapat memberikan idea-idea baru bagi menyelesaikan permasalahan yang timbul. Contohnya taman tema kanak-kanak yang tersohor di dunia iaitu Walt Disney Theme Park yang dibina berdasarkan angan-angan Walter Elias Disney. Menurut beliau, dia mendapat idea untuk membina taman tema berkenaan semasa menemani anaknya bermain-main di padang permainan yang berdekatan dengan kediamannya.


* Kaedah Peta Minda (Mind Mapping)
Peta Minda adalah analogi daripada kejadian dan pemerosesan maklumat yang berlaku di dalam otak. Peta ini diperkenalkan oleh seorang pengkaji minda yang bernama Tony Buzan. Beliau telah membuat kajian yang sangat mendalam tentang peta minda ini. Di samping itu juga, beliau telah pun menerbitkan lebih daripada sepuluh buah buku berkenaan dengan peta minda ini.

Buzan (1986) menegaskan di dalam bukunya yang berjudul ‘Use Your Memory’, peta minda adalah sesuatu yang sangat unik dan banyak membantu secara langsung dalam banyak aktiviti seharian. Contohnya, seperti membuat catatan nota, menyelesaikan permasalahan dan membuat keputusan telah menjadi kaedah yang utama dalam membuat sesuatu perancangan.

Bagi Tony Buzan, peta minda adalah berpaksikan pada sel-sel saraf pusat iaitu ‘neuron’. Otak manusia mengandungi lebih kurang sepuluh billion sel-sel saraf neuron aktif. Ia berbentuk seakan-akan seperti sebuah sarang yang dibina oleh seekor labah-labah manakala jari-jemarinya pulak berbentuk seperti sotong kurita.

Sel-sel neuron ini memproses maklumat secara rawak dan menyeluruh. Segala maklumat yang diperolehi akan dihubungkaitkan antara satu sama lain, dipertalikan, dianalisa kemudian digabungkan dan akhir sekali maklumat berkenaan akan dikelolakan bagi tujuan menemukan jaringan maklumat yang kita kehendaki.

Langkah-Langkah Membina Peta Minda
Dalam proses menghasilkan peta minda yang berkesan, beberapa langkah asas perlulah dipatuhi seperti berikut:

(a) Letakkan kata kunci di tengah-tengah. Kata kunci merupakan titik tumpuan yang utama pada sesuatu isu yang dikembangkan. Selain daripada patah perkataan, gambar, kod dan simbol-simbol yang sesuai boleh digunakan sebagai panduan ketika menghasilkan peta minda.

(b) Selepas itu, kita perlu mengenalpasti subkata kunci yang ditulis berhampiran dengan kata kunci. Seterusnya, subkata kunci dimuatkan pada mana-mana bahagian dan arah pada rantaian peta minda. Contohnya dalam rajah:

(c) Hubungan antara kata kunci, subkata kunci dan sub-subkata kunci yang lain perlulah selari dan dihubungkan dengan satu rangkaian garisan yang bersambungan di antara satu sama lain.

(d) Warna dan corak boleh juga digunakan bagi menunjukkan perbezaan di antara satu idea dengan idea yang lain.

Artikel Paling Dilawati