Saturday, January 7, 2012

Media pengaruhi budaya atau budaya pengaruhi media?

Menerusi tulisan Dr.Joseph Straubhaar pada tahun 1990 dalam bukunya yang berjudul ‘Media Now: Understanding Media, Culture and Technology’ telah membincangkan secara mendalam berkenaan dengan kronologi sejarah sosial manusia dan kemunculan media baru di era ini serta kesannya ke atas hasil-hasil karya seni.
Berdasarkan tulisan Straubhaar mengenai tiga tingkat perkembangan ekonomi manusia, beliau memperihalkan tentang sejarah awal sosial manusia pada tahun 4000 Sebelum Masehi yang hidup dalam kelompok-kelompok kecil dengan melakukan aktiviti memburu binatang untuk dijadikan makanan dan bercucuk tanam sebagai asas sejarah ketamadunan manusia. Syarman(bomoh) merupakan individu yang dihormati dan dianggap sebagai pembawa berita dalam kalangan masyarakat prasejarah atau pra pertanian pada ketika itu. Ini menjelaskan bahawa manusia pada zaman tersebut sudah mula menyanjung apa juga bentuk maklumat dan komunikasi. Seterusnya apabila berubah kepada era pertanian, manusia mula beralih kepada aktiviti perlombongan, perikanan dan pembalakan. Pada era ini juga telah munculnya keinginan manusia untuk berhubung menerusi penulisan dengan terciptanya abjad oleh bangsa Grecoo-Roman. Begitu juga dengan aktiviti menyalin buku-buku agama dalam kalangan pendeta atau rahib Kristian dan ciptaan alat pencetakan oleh bangsa Cina menerusi penghasilan kayu lengkung, dakwat dan kertas. Ini jelas menunjukkan minat dan keinginan tinggi manusia untuk berkomunikasi sesama mereka bagi menyebarkan maklumat dan ini secara tidak langsung telah membawa kepada munculnya ciptaan-ciptaan produk berteknologi baru secara meluas dalam kehidupan manusia.
Munculnya era perindustrian adalah dengan terciptanya enjin stim yang pertama untuk bot pada tahun 1912 oleh Thomas Newcomen. Walau bagaimanapun ciptaan mesin cetak pertama oleh seorang berbangsa Jerman iaitu Johannes Gutenberg pada tahun 1455 merupakan penggerak dan pencetus kepada gerakan menyeluruh dalam aspek ekonomi, sosial budaya dan agama di era perindustrian. Industri dan perkilangan tumbuh dengan pantas. Produk-produk perkilangan dikeluarkan selaras dengan permintaan dan pertumbuhan populasi manusia di dunia dan secara tidak langsung membawa kepada munculnya bidang komunikasi dan kepentingannya kepada perkembangan ekonomi sesebuah masyarakat.
Menurut Straubhaar, era komunikasi hari ini dilihat begitu besar impaknya ke atas dasar ekonomi di dalam sesebuah masyarakat. Tenaga buruh yang besar sejak era pertanian dahulu mula dikecilkan dengan munculnya teknologi komputer yang membantu mencipta, menyimpan dan memproses maklumat dengan lebih berkesan. Begitu juga ciptaan seperti telefon bimbit dengan bateri(1962), World Wide Web(1991), perakam, muzik, filem, video permainan hiburan, iPhone, Compact Disk dan banyak lagi telah mengubah corak komunikasi di seluruh dunia. Begitu juga saluran penyiaran seperti televisyen satelit dan televisyen High Definition(HD).
Walaupun demikian, kini timbul persoalan sama ada media yang menentukan hala tuju budaya ataupun budaya manusia sebenarnya yang menentukan hala tuju media. Yang mana satu?( mungkin anda ada pilihan tersendiri di antara kedua itu)

Penulis berpendapat, komunikasi di era kini bukan lagi merupakan maklumat yang hanya dibaca atau dilihat oleh manusia tanpa manusia boleh melakukan apa-apa tetapi manusia sebagai penerima maklumat juga ingin dan mampu memberi tindak balas terhadap media yang digunakan. Contohnya laman sosial seperti blog, Facebook dan perkongsian video di Youtube. Kemunculan multimedia dan komunikasi dua hala menerusi Yahoo Messenger dan Skype memperlihatkan kuasa pengguna ke atas media. Oleh yang demikian, kuasa pengguna sebenarnya yang menentukan hala tuju media berbanding media yang merubah budaya manusia.

Wednesday, January 4, 2012

Demonstrasi di UPSI dan AUKU


Tahun 2012 bermula tenang cuma sedikit gelora di Universiti Pendidikan Sultan Idris. Terdapat segelintir pelajar mengesa kerajaan menghapuskan akta AUKU di jalanan.

Menurut sumber rasmi, secara umumnya Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971) merupakan satu akta yang digubal oleh kerajaan Malaysia yang diperkenankan oleh raja pada 27 April 1971. Ia juga merupakan suatu akta sebahagiannya di bawah kuasa Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia untuk mengadakan peruntukan bagi penubuhan, penyelenggaraan dan pentadbiran universiti-universiti dan kolej-kolej universiti awam dan bagi perkara-perkara lain yang berkenaan dengannya. Akta ini dipinda pada tahun 1975 dan 1995 menjadi Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 1995.

Secara rumusnya, sebilangan pelajar melihat akta ini lebih kepada mengongkong pemikiran mahasiswa. Mungkin juga terdapat tanggapan lain yang menyokongnya. Biarpun sebilangan masyarakat melabelkan mahasiswa hanya perlu belajar dan tidak harus mendekatkan diri dengan sentimen atau politik tertentu, kita tidak harus lupa, dari gedung ilmu juga berupaya memupuk kepimpinan anak muda untuk berbakti kepada negara di hari muka. Akhirnya suara demonstrasi segelintir pelajar UPSI yang dikatakan diketuai oleh saudara Adam Adli dan disertai oleh puluhan mahasiwa dari beberapa Universiti lain berakhir dengan insiden disuraikan oleh pihak berkuasa. Beberapa tangkapan dilakukan oleh pihak berwajib dan kejadian cermin kilinik yang pecah menjadi topik perbualan selepas itu.

Pendeknya, dua pihak yang berbeza pendapat dalam kalangan masyarakat makin menyatakan kekesalan berhubung insiden tersebut baik secara positif mahupun negatif.

Ikhlasnya, oleh kerana ianya berlaku di UPSI, masyarakat melihat ianya dicetuskan oleh sebilangan mahasiswa di sana. Mungkin ini perlu dibetulkan oleh media yang melaporkan. Hukuman dikenakan ke atas mahasiswa yang terbabit mungkin satu opsyen manakala perbincangan juga merupakan satu pilihan lain yang masih boleh dijelmakan selagi tiada tangan-tangan ghaib yang ingin menjadikan isu ini menurut selera politik masing-masing yang semakin panas di saat hampirnya PRU13.

Kepada bakal pendidik, gunalah saluran yang lebih bersesuaian dengan nilai-nilai budaya bangsa kita dalam melahirkan pandangan tentang AUKU. Tidak salah jika sedikit merendah diri. Ianya tampak lebih berhemah dan sesungguhnya ular yang menyusur akar tidak akan hilang bisanya.

Artikel Paling Dilawati