Tuesday, April 20, 2010

Imaginasi Proses Awal Kreativiti

"Potensi dan fungsi otak sebenarnya lebih jauh daripada apa yang kita jangkakan" kata-kata itu diungkapkan oleh Tony Buzan dalam Program Meneroka Minda-minda Hebat anjuran Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands 22 Mac lalu.Pada hari tersebut, beliau telah melancarkan Buku Panduan Kemahiran Bahasa Buzan versi Bahasa Malaysia.

Nama Tony Buzan,68 tahun, bukan asing dalam dunia pendidikan terutama pendidikan awal kanak-kanak. Idea Peta Minda beliau telah diterimapakai bukan sahaja dalam pendidikan masyarakat normal malahan diimplemenkan kepada masyarakat kurang upaya dalam membuka fungsi kedua-dua belah otak mereka.

Daya ingatan manusia diperakui semakin baik apabila pelbagai warna dan imej dicatatkan di dalam Peta Minda. Oleh yang demikian Buzan berpandangan Peta Minda boleh diperkenalkan kepada kanak-kanak seawal usia setahun.

Otak sebenarnya bersifat sinergetik iaitu kedua belah otak perlu bekerjasama bagi mendapatkan keberkesanan maksimum.

Asas kepada lahirnya teori Peta Minda Buzan, beliau menceritakan pada suatu hari ketika beliau berada dalam Tren di Kota london, beliau terdengar perbualan seorang anak dengan ibunya. Ketika itu Tren yang dinaiki bergerak dengan kelajuan luar biasa yang tidak seperti hari-hari sebelum ini.

"Mak, alangkah baiknya kalau Tren ini boleh bergerak pantas sehingga masuk ke hari esoknya, bukan? tanya si anak kecil dengan riang. Imaginasi luar biasa kanak-kanak berusia empat tahun itu bagaimanapun dibalas dengan teguran ibunya "Sudah jangan fikir bukan-bukan"

Buzan mengagumi kredibiliti khayalan anak kecik tadi dan beliau berpendapat khayalan atau imaginasi seharusnya tidak disekat. Sebabnya setiap anak mempunyai kebijaksanaan kreatif yang boleh diasah, diasuh dan kreativiti itu lazimnya bermula dengan khayalan. Malahan Albert Eistein sendiri pernah mengakui imaginasi adalah elemen penting disebalik kejayaan penemuan sainsnya.

jelasnya, imaginasi merupakan proses terawal dalam proses kreatif dan imaginasi juga boleh menjadi realiti.

(Adaptasi dari artikel : Imaginasi Buzan Akhbar KOSMO Isnin 22 Mac 2010)

Artikel Paling Dilawati